PERIBAHASA
PENGGUNAAN
Kebiasaannya peribahasa menjadi agen nasihat, teguran dan sindiran yang bertujuan memperbetul apa yang salah, memberi pengajaran, peringatan dan mengubah sikap individu supaya menjadi lebih baik. Namun selain itu, peribahasa ini juga berfungsi untuk membangkitkan semangat kenegaraan, kebanggaan dan patriotisme khususnya bagi seseorang warganegara. Di 'pasaran', banyak peribahasa yang bertujuan untuk membangkitkan semangat tersebut di mana salah satunya adalah ungkapan "di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung". Sering kali diungkap untuk membangkitkan roh atau sprit dalam situasi perjuangan demi mempertahankan 'tanahair' yang dianalogikan sebagai tempat yang mereka pijak dan langit yang menaungi tempat tersebut. Walaupun begitu, jika dilihat kepada situasi penggunaannya yang lebih luas, ia tidaklah sepenuhnya ditujukan kepada seorang patriot untuk berjuang dan mempertahankan tanahairnya semata-mata tetapi boleh dimiliki atau dipunyai oleh pelbagai lapisan masyarakat. Asasnya, jika diteliti dengan lebih tuntas, maksud sebenar peribahasa ini adalah bagi menggambarkan keperluan seseorang untuk mematuhi, mentaati dan menghormati adat resam, undang-undang serta peraturan di mana mereka tinggal atau di sesuatu tempat yang disinggahi.
KEPERLUAN
Mengapa perlu patuh, taat dan menghormati adat resam, undang-undang dan peraturan di mana seseorang itu berada sebagaimana dianjurkan peribahasa ini? Jawapannya akan menjurus kepada satu kata kunci iaitu 'kehidupan' manusia itu sendiri yang pastinya ingin menuju kepada kesempurnaan, kebaikan dan kebahagiaan. Semestinya juga ia bebas dari kecelaruan, permusuhan dan ketegangan yang boleh mengganggu proses pengisian kehidupan walau di mana seseorang itu berada atau bermastautin. Rasionalnya, adat resam penting sebagai aturan, cara hidup atau kebiasaan yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat di sesuatu tempat. Undang-undang pula diperincikan kepada 'sistem' sama ada bertulis atau tidak bertulis yang digunakan untuk mengawal tatakelakuan masyarakat. Manakala peraturan pula adalah ketentuan, ketetapan atau panduan yang diwujudkan untuk mengawasi kehidupan manusia. Penjelasan tersebut telah menunjukkan bahawa betapa eratnya hubungan di antara peribahasa di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung dengan unsur kehidupan manusia. Apabila semua unsur ini diletakkan sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang wajib dilunaskan maka ia akan memungkinkan kehidupan terbaik dan di penghujungnya nanti ia akan menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kedaulatan tanahair.
PRAKTIS
Peribahasa ini dilihat bukan sahaja terpakai di negara sendiri tetapi juga turut mengambil kira apabila seseorang itu berada di luar negara. Jika di tanahair sendiri mereka wajib menghormati cara hidup, undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa maka seharusnya perkara ini dipraktikkan juga ketika berada di negara orang. Pendek kata, walau di manapun seseorang itu berada, tingkah laku perlu terpelihara, sentiasa menghormati nilai masyarakat mereka, mengelakkan perselisihan dengan penduduk setempat dan menjunjung undang-undang serta peraturan walaupun terdapat perbezaan dengan amalan di tanahair sendiri. Mutakhir ini, umum telah disajikan dengan tindak tanduk sekelompok dari kita yang telah melakukan perbuatan menyalahi undang-undang dan peraturan ketika berurusan atau mengunjungi negara lain seolah tidak menghormati budaya dan sistem nilai negara tersebut. Penglibatan dalam aktiviti penyeludupan bahan terlarang, kesalahan lalu lintas, jenayah siber antarabangsa, pemerdagangan manusia, bekerja secara haram dan lain-lain adalah ketidakpatuhan yang sering berlaku di kalangan masyarakat Malaysia di luar negara. Natijahnya, bukan sahaja menyusahkan serta mencemarkan nama baik diri dan keluarga malah secara tidak langsung telah memberi konotasi negatif terhadap negara ini yang dikenali dengan kekuatan pembangunan dan sifat terpuji rakyatnya dalam pelbagai genre kehidupan.
METODOLOGI
Tanahair adalah tanah tumpah darah dan tempat di mana seseorang itu menjalani dan mencari kehidupan yang terbaik untuk diwarisi turun temurun. Perlu dipertahankan bukan sahaja dari sudut kedaulatannya tetapi juga dari aspek maruah dan identiti yang lahir dari adat resam, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. Ironinya, ia adalah aset yang perlu dipertahankan. Bagaimana mempertahankannya adalah terletak kepada pegangan setiap dari entiti masyarakatnya selari dengan peribahasa di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Metodologinya adalah menjunjung Rukun Negara, meraikan kepelbagaian hidup, menghormati budaya tempatan, menjaga nama baik negara dan bersama-sama berbakti untuk menyumbang kesejahteraan bersama. Keupayaan mengawal diri sangat diperlukan supaya emosi dan tindakan mampu seiringan demi menghasilkan 'sesuatu' yang mendatangkan faedah kepada diri dan tanahair. Semua warganegara mempunyai tanggungjawab masing-masing dan hal ini perlu direalitikan sebagai simbol kecintaan kepada Malaysia selaku negara merdeka yang progresif, prakmatik dan inklusif. Wassalam. Malaysia Madani : Kesejahteraan Dinikmati.
Author : Hasron Nazri Hashim (HasronNH)

Comments
Post a Comment