السلام عليكم ورحمة الله وبركاته / Salam Jumaat
Permaidani
Permaidani merupakan suatu hamparan yang diperbuat daripada baldu. Rasionalnya dari aspek tersurat, banyak kegunaan permaidani dalam kehidupan manusia terutamanya sebagai alat untuk melembutkan permukaan lantai supaya merasa selesa apabila dipijak, menyerap bunyi di persekitaran dalam rumah dan menghiasi lantai bagi memastikan ianya elok dipandang. Lebih dari itu, permaidani juga dilihat sebagai 'lambang' kemewahan, kemegahan dan boleh juga menggambarkan status seseorang khususnya apabila melihat dari aspek harganya. Boleh dikatakan majoriti dari kita memiliki permaidani sama ada di rumah, di tempat kerja atau diletakkan di mana-mana sahaja yang difikirkan sesuai. Sama ada yang berkualiti mahupun biasa-biasa sahaja itu bukan persoalannya. Namun sebanyak mana yang melihat permaidani dalam ruang tersiratnya?
Dari aspek tersirat, permaidani yang cantik, indah dan bersih akan menarik perhatian sesiapa sahaja untuk melihat dan melalui jalan yang dihampari oleh permaidani tersebut. Dalam hal ini ia boleh dijadikan sebagai perlambangan kepada manusia untuk menarik mereka melalui jalan-jalan kebaikan dan kebenaran yang diredai serta diberkati untuk menuju ke destinasi idaman iaitu syurgawi. Ini kerana manusia mudah terkesan dengan sifat-sifat cantik dan indah dalam apa sahaja yang berlegar-legar dalam kehidupan mereka. Sudah menjadi adat dalam kehidupan, sesuatu yang elok itu akan menjadi daya penarik dan seterusnya meningkatkan kemahuan untuk terus menerobos setiap entiti di sebaliknya. Hubung kait Islam dan permaidani sememangnya wujud apabila ia disebut dalam Al-Quran bagi menggambarkan keindahan syurga sebagaimana firman Allah S.W.T "Mereka bersandar pada bantal-bantal yang hijau dan permaidani-permaidani yang indah" (Surah Ar-Rahman, 76).
Dalam Lagu
Apabila menyebut tentang 'permaidani' maka tidak dapat tidak minda akan terbawa untuk mengingati tajuk dan bait-bait sebuah lagu ciptaan Adinda Amiro didendangkan dengan sangat puitis oleh saudara Aris Ariwatan yang diberi nama PERMAIDANI. Selari dengan tajuk yang diberi, permaidani telah menjadi fokus utama untuk menyampaikan pengertian lagu tersebut terutamanya di bahagian korusnya. Rangkap senikata lagu yang dimaksudkan adalah seperti berikut.
...Bentangkan ku permaidani
Dari baldu berwarna putih
Moga tak ku terasakan
Cubaan yang ku galas ini
Kepada Mu titianku
Hijrahkanlah diri ini.
Bersesuaian dengan tema 'ketuhanan' yang dibawa dalam lagu ini, penulis menggunakan permaidani sebagai 'medium' untuk mengajak manusia supaya melakukan 'penghijrahan' ke jalan Allah S.W.T. Sudah semestinya penghijrahan yang dilakukan adalah 'perubahan' dari yang kurang baik kepada yang baik atau dari yang baik kepada yang lebih baik demi menjadikan kehidupan dunia dan akhirat yang lebih bermakna. Selain menggambarkan permaidani sebagai instrumen yang indah, ia juga dimetaforakan sebagai sesuatu yang suci bersih sehingga boleh menarik perhatian dan memberi motivasi kepada sesiapa sahaja untuk melaluinya dan tuntas melakukan perubahan dalam kehidupan mereka.
Mencari Permaidani
Realitinya, memiliki permaidani yang indah, cantik, selesa dan berkualiti tinggi seseorang itu perlu membelanjakan wang ringgit yang bukan kaling-kaling nilainya. Namun dalam konteks spritual, untuk mencari permaidani yang menjadi hamparan atau penghijrahan ke jalan Allah S.W.T bukanlah wang ringgit yang perlu dipertaruhkan. Sebaliknya ia mampu diperolehi daripada 'ibadah' dan 'amalan' manusia melalui entiti taubat, doa dan beristiqomah yang mana setiap darinya mempunyai fungsi dan peranan masing-masing serta saling melengkapi antara satu sama lain. Trio yang berkemampuan dalam mencorak dan mewarnai keindahan permaidani yang sebenar-benarnya untuk menyinari jalan-jalan menuju kebahagiaan yang didambakan setiap manusia.
Di peringkat pertama taubat diperlukan sebagai 'janji' manusia dengan Allah S.W.T dan dibuat secara bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi perkara-perkara buruk yang pernah dilakukannya sebelum ini. Hakikat taubat dilihat melalui Firman Allah S.W.T bermaksud "Tidakkah mereka mengetahui, bahawa Allah menerima taubat hamba-hamba-Nya dan juga menerima zakat (nya), dan bahawa Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang? (Surah At-Taubah, 104). Kemudian di peringkat kedua pula doa diperlukan supaya diberi 'ketetapan' hati dan minda agar janji dipegang erat dan dipertahankan keutuhannya selain diberi kekuatan untuk menangkis segala cabaran dan dugaan yang muncul seusai taubat dilakukan. Tuntutan doa disebut sepertimana Firman Allah S.W.T "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya akan Aku perkenankan bagimu" (Surah Al Ghafir, 60). Manakala istiqamah pula adalah elemen konsistensi yang sangat diperlukan agar taubat dan doa tersebut dilaksanakan secara berterusan dan tanpa henti sebagaimana Firman Allah S.W.T "Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya) dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui (perintah janjiKu) (Surah Yunus, 89). Kesepaduan unsur-unsur tersebut merupakan praktis dan 'interaksi' manusia dengan Sang Pencipta. Amalan-amalan yang boleh dilaksanakan tanpa mengira masa dan keadaan serta pastinya mampu dibuat secara 'percuma' namun perlu diiringi dengan kesedaran dan komitmen yang tinggi.
Melihat Dengan Jiwa
Nilai sebidang permaidani bukan dilihat dari sudut kebendaan semata-mata tetapi perlu melingkari elemen sprit yang berfungsi sebagai jalan untuk melakukan perubahan dalam kehidupan. Memandangkan jalan kepada perubahan bukan lah sesuatu yang mudah maka sesuatu yang cantik dan indah sangat diperlukan sebagai agen tarikan dan penggerak ke arah tersebut. Jalan yang bakal dilalui pastinya lebih baik jika disertakan dengan taubat yang bersungguh-sungguh, doa yang berterusan dan istiqamah dalam menyusuri jalan tersebut. Sesungguhnya, pintu taubat sentiasa terbuka sebagai jalan alternatif melakukan perubahan, doa yang akan diperkenankan dan adanya unsur ketetapan jiwa anugerah dari Allah S.W.T kepada manusia. Sehubungan itu, lihatlah permaidani dari pojok kejiwaan dan nilaikan apa yang boleh diperolehi dari pengertian yang tersirat daripadanya lebih-lebih lagi dalam melakukan penghijrahan dalam kehidupan sebelum menuju abadi. Wassalam.
Author : Hasron @ Kajang, Selangor DE
Comments
Post a Comment