Skip to main content

ESPRIT DE CORP DAN NILAI PENGORBANAN

Esprit De Corp

Esprit de corp bermaksud semangat setia kawan di kalangan ahli sesuatu kumpulan (Kamus Dewan Edisi Keempat). Kumpulan yang dimaksudkan pula adalah kelompok manusia yang membentuk sebuah entiti sama ada komuniti atau organisasi yang berpegang kepada matlamat dan hala tuju yang sama. Matlamat dan hala tuju tersebut pula dicapai dengan semangat kerjasama dan setia kawan di kalangan mereka. Boleh dikatakan esprit de corp sinonem di kalangan sumber manusia dalam semua organisasi tetapi dilihat lebih menonjol kepada sumber manusia dalam organisasi bercorak uniformity dan regimented di mana kewujudannya berteraskan kepada kesepaduan, keseragaman, kesamaan dan keserupaan di kalangan mereka. Di negara ini, banyak organisasi yang biasa digambarkan dengan situasi tersebut khususnya tentera, polis dan seumpamanya.

Kaedah

Bagaimana semangat tersebut ditunjukkan dalam organisasi? Jika diteliti, banyak situasi yang boleh dilihat di mana antaranya melalui 'kaedah' mereka bekerja yang agak berbeza dengan sumber manusia di organisasi lain. Kaedah tersebut meliputi bagaimana mereka menyusun atur dan melaksanakan setiap tugasan, bagaimana elemen disiplin diterap dan diimplementasikan, bagaimana menggunakan hukum perintah dan kawalan dan bagaimana tindakan berbentuk punishment digunakan jika berlaku perlanggaran kepada tatacara yang ditetapkan. Pastinya setiap kaedah yang digambarkan tersebut memiliki principle tertentu dan memerlukan sprit yang khusus supaya sumber manusia dapat menyelami setiap amanah yang dipikul selain menunjangi setiap cabaran yang muncul dari skop pekerjaan yang dilakukan. Impaknya bukan sahaja meningkatkan keutuhan kendiri dan hubungan erat di kalangan rakan setugas tetapi juga memastikan kefungsian organisasi tercapai dan paling utama adalah mewujudkan trust dari apa yang ada di persekitaran organisasi tersebut.


Senario

Bagaimana mereka mensenariokan semangat tersebut dalam proses dan budaya kerja? Boleh dilihat dalam aspek yang pelbagai. Namun dalam gambaran paling mudah dilihat adalah melalui tugasan out-station khususnya ketika menjalankan tugasan berbentuk kolektif dan operationer. Perbandingannya boleh dilihat dalam situasi 'orang lain' yang bermalam di hotel dengan sajian sarapan pagi yang enak-enak dan tidur beralaskan tilam dan bantal 'syahdu'. Sebaliknya mereka bermalam di dewan, asrama atau dorm dengan bersarapan rangsum dan jika ada pun cukup sekadar makanan asas bagi memastikan mereka boleh menggerakkan tulang empat kerat bagi menjalankan tugasan. Ketika 'orang lain' bekerja dalam ruang berhawa dingin, mereka pula terpaksa berpanas dan berhujan malah tidak berganjak walau seinci atas nama 'tuntutan' dan 'arahan'. Ketika 'orang lain' sibuk bertugas shift di tempat berbumbung mereka pula bertugas di lapangan yang lebih tinggi risikonya. Keadaan seperti ini seolah telah menjadi satu kebiasaan yang mana mahu atau tidak ia wajib dilaksanakan. Rasionalnya situasi ini berlaku secara 'bersama' dalam struktur organisasi tanpa mengira kepada  golongan perancang, penyelia mahupun pelaksana.

Kesan

Bagaimana kekuatan esprit de corp bakal memberi kesan kepada sumber manusia dalam organisasi? Memandangkan esprit de corp adalah semangat atau roh yang lahir dari dalam diri seseorang maka pasti kesannya juga akan terlihat melalui elemen-elemen dalaman seseorang itu sebelum diterjemahkan kepada perbuatan. Sama ada sedar atau tanpa sedar, semangat ini sebenarnya mendewasakan mereka, mengeratkan lagi nilai persahabatan dan persaudaraan serta boleh menjadi agen menembusi tembok pemisah di antara mereka. Mereka boleh berkongsi apa sahaja tentang kerjaya dan kehidupan tanpa ragu kerana tiada entiti yang menjadi penghalang. Perkara seperti ini akan mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan yang sangat penting untuk membantu perkembangan kerjaya kerana tuntutan kerja mereka memerlukan kesepaduan, keserasian dan kebersamaan yang tinggi. Kekuatan ini bakal memanifestasikan situasi susah senang dalam mencari rezeki yang di kongsi bersama tanpa rasa sesalan di dada dan benak mereka.


Kekuatan semangat ini pada akhirnya nanti akan mewujudkan hubungan spritual yang ampuh pada kalangan mereka. Bak kata berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Berjalan bersama dan berlari bersama namun jika jatuh biarlah bersama juga. Itu sebabnya jika berlaku 'kehilangan' di kalangan mereka, akan mengundang jutaan rasa terkilan dan kesedihan yang sangat mendalam nilainya. Terutamanya dari aspek 'nyawa' yang tiada galang ganti. Bak kata pepatah cubit peha kanan, peha kiri terasa sakitnya. Kesedihan, kekecewaan dan rasa terkilan akan mengambil tempat dan memerlukan masa yang panjang untuk menjadi reda. Malah tidak akan hilang walau berkurun lama kerana 'hubungan' tersebut seolah telah menjadi darah dan daging di antara satu sama lain. Tiada siapa yang dapat menyanggah hakikat ini kerana sejarah negara yang tercatat dalam perharian rasmi masyarakat Malaysia telah membuktikan kebenarannya.

Pengorbanan


Bagaimana sisi esprit de corp boleh mewujudkan nilai sebuah pengorbanan? Mahu atau tidak, semangat ini akan menyuntik nilai pengorbanan yang tinggi di kalangan mereka terlibat. Sesuatu yang muncul dari kesusahan, kesulitan, ketidakselesaan dan kepayahan ketika melaksanakan sesuatu tugas lebih-lebih lagi jika tugasan tersebut secara 'terus' bermatlamat untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat akan lebih 'terasa' nilai pengorbanannya. Terutamanya dalam bidang tugasan yang terdedah kepada akibat buruk atau seandainya tersalah jangkaan dalam tugasan mereka. Bagi memastikan tugasan tersebut menjadi lancar, kesemua sumber perlu berkorban untuk merela, melepas dan mengizinkan sesuatu yang berharga supaya semua berperanan mencipta satu 'tindakan' yang tersusun. Jika senang atau mudah, kurang risiko serta cabaran dan semestinya tiada apa yang perlu dikorbankan sangat khasnya dalam konteks esprit de corp.

Sesuatu yang lahir dari ikatan persahabatan dan persaudaraan yang bukan atas faktor 'biologi' semestinya memerlukan pengorbanan yang 'luar biasa' terutamanya demi menjadikannya teguh dan kukuh. Bukan sesuatu yang mudah kerana setiap entiti wujud dari latar yang berbeza bak kata peribahasa rambut sama hitam, hati lain-lain. Keadaan ini menjadikan mereka yang terlibat perlu mengorbankan status dan meletakkan sifat kesamarataan sebagai tunjang utama. Mampu bekerja sebagai satu pasukan tanpa terikat kepada hirarki pangkat atau darjat semata-mata dalam menjamin matlamat organisasi tercapai secara komprehensif. Dalam memperkukuhkan esprit de corp juga mereka yang terlibat wajar mengorbankan kepentingan atau kehendak peribadi sebaliknya mengutamakan kepentingan rakan-rakan terbanyak dalam pelaksanaan tugasan. Di sebalik erti pengorbanan, mereka perlu memilih jalan terbaik untuk memperkukuhkan esprit de corp dalam pada masa sama tidak membenarkan unsur-unsur bertentangan bertindak menghalaginya.

Akhir Kalam

Esprit de corp adalah semangat setia kawan yang wujud di kalangan ahli sesuatu kumpulan. Justeru, esprit de corp bukan sahaja menjadi nilai penting dalam organisasi malah perlu dilihat sebagai alternatif untuk mendewasakan diri dan seterusnya menjadi insan yang lebih sempurna. Wujud dalam pelbagai dimensi khususnya tugasan berkumpulan dalam organisasi dan dari situ akan muncul nilai pengorbanan yang sejati kerana untuk mewujud, mempraktis dan memperteguhkannya bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan keluhuran jiwa dan spritual yang kukuh sifatnya di kalangan mereka. Sesungguhnya kesepaduan di antara sesama manusia itu merupakan sesuatu yang dituntut sebagaimana Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud “Engkau lihat orang-orang mukmin dalam saling mengasihi, saling mencintai, dan saling menolong seperti satu tubuh yang apabila satu anggota tubuhnya sakit, tertariklah semua anggota tubuh llainnya (ikut sakit) dengan tidak dapat tidur dan panas (demam)” (HR. Muttafaq Alaih). Wassalam.

Author : Hasron @ Kajang, Selangor DE


Comments