Skip to main content

DEMI AGAMA, MASYARAKAT DAN NEGARA

 

Pekerjaan : Mengisi Keperluan


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkerjaan atau kerja didefinisikan sebagai sesuatu yang diusahakan (dilakukan berterusan) kerana mencari nafkah. Selari dengan pengertian tersebut, nafkah pula dilihat sebagai sesuatu yang menjadi keperluan manusia seperti pendapatan dan perbelanjaan yang digunakan untuk menyarai kehidupan. Apabila menyentuh tentang keperluan maka ia merupakan sesuatu yang tidak terbatas sifatnya. Sebagaimana Teori Maslow yang menghipotesis bahawa keperluan manusia meliputi lima tahap utama iaitu psikologi, keselamatan, sosial, nilai diri dan pencapaian hasrat diri. Ringkasnya, keperluan manusia dirangkumkan bagi mengisi elemen-elemen asas atau fizikal kehidupan, memenuhi keselamatan peribadi termasuk harta benda, merasai bahawa mereka dihormati dan dihargai oleh persekitarannya serta keperluan untuk mencapai cita-cita bersandarkan potensi yang dimiliki. Lazimnya, keperluan manusia diperolehi melalui keterlibatan mereka dalam bidang pekerjaan dan menikmati faedah-faedah darinya sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Pekerjaan : Neraca Islam

Pekerjaan dalam Islam adalah merupakan suatu 'tuntutan' dan menjadi 'kewajipan' bagi setiap manusia untuk melakukannya sebagai suatu 'ibadah' selari dengan konteks manusia sebagai 'khalifah' di muka bumi ini. Kenyataan ini adalah bersandarkan kepada beberapa nas dari Al-Quran dan Al-Hadis yang menerangkan keperluan manusia untuk bekerja. Fiman Allah S.W.T bermaksud "Dialah yang menjadikan bumi ini mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segenap penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezekinya-Nya" (Surah Al-Mulk, 15). Manakala dalam nas yang lain Allah S.W.T berfirman yang bermaksud "Wahai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagi kamu selain-Nya. Dia telah menciptakan kamu daripada bumi (tanah) dan memerintahkan kamu supaya memakmurkannya" (Surah Hud, 61). Selain itu, dalam satu hadis Rasulullah S.A.W bersabda "Sesiapa yang menghabiskan waktu petangnya dalam (keadaan) keletihan akibat daripada bekerja yang dijalankan oleh tangannya sendiri maka dia diberi keampunan" (Hadis Riwayat al-Tabrani dan al-Baihaqi). Pendek kata, pekerjaan dilaksanakan bagi melestarikan kehidupan di dunia dan pada masa sama sebagai balasannya memperolehi kenikmatan di akhirat kelak.

Pekerjaan : Keperluan Persekitaran

Selain dalam konteks keagamaan dan kemanusiaan, pekerjaan juga harus merujuk kepada ruang lingkup yang lebih luas dari itu. Bukan sahaja bagi mengisi keperluan 'insan' tetapi juga untuk memenuhi keperluan orang-orang di persekitarannya dan kesan kepada negara keseluruhannya. Lebih khusus, pekerjaan seseorang dalam apa jurusan atau peringkat sekalipun akan membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat yang lebih baik, mampu mengembangkan prospek dan lanjut memperkasa tahap kemajuan negara. Jika diperhalusi, kesalingan itu sememangnya wujud. Cuma ada ketikanya seseorang itu tidak menyedarinya kerana mungkin terlalu memikirkan hal memenuhi keperluan diri dan kehidupan sendiri. Ringkasnya pekerjaan akan membawa kesan kepada diri sendiri dan pada masa sama kesan sedar atau tidak kepada elemen-elemen lain di persekitaran pekerjaan tersebut.

Pekerjaan : Keperluan Agama, Masyarakat Dan Negara

Sering kali kita dengar ungkapan bekerja untuk agama, masyarakat dan negara. Ungkapan yang banyak menimbulkan reaksi dan persepsi di kalangan masyarakat pekerja khususnya. Adakah ungkapan ini sesuatu yang bersifat realiti atau retorik? Ada yang bekerja dengan berfokuskan kepada nilai 'upah' atau lebih dari sekadar itu bekerja demi agama, bangsa dan negara. Kedua-dua situasi tersebut boleh wujud bergantung kepada 'amalan' seseorang dalam bekerjaya. Dalam hal ini, selain menunaikan setiap apa yang termaktub dalam skop pekerjaan sebagai amalan, penting juga diberi perhatian kepada 'niat' seseorang itu dalam melakukan pekerjaannya. Niat atau intention diertikan sebagai maksud atau tujuan sesuatu perbuatan (Kamus Dewan Edisi Keempat). Niat digambarkan kepada dua situasi iaitu niat baik akan menghasilkan perbuatan atau hasil kerja yang baik dan niat tidak baik akan meninggalkan kesan perbuatan atau hasil kerja yang sebaliknya.

Pekerjaan yang dilakukan dengan niat baik iaitu diselarikan elemen ikhlas, jujur, amanah, berdisiplin dan komited bukan sahaja akan menghasilkan kerja yang berkualiti, meningkatkan prestasi dan lebih dari itu akan memberi gambaran positif kepada matlamat pekerjaan tersebut dilaksanakan. Menepati tujuan yang lebih besar dari sekadar memenuhi keperluan diri iaitu bagi memenuhi tuntutan agama yang menegaskan bahawa melakukan pekerjaan itu adalah suatu ibadah. Disertakan juga dengan tujuan pekerjaan bagi merealisasikan keperluan masyarakat kepada kehidupan yang lebih mudah, tersusun dan bermakna. Selain menjanjikan keutuhan negara melalui kemakmuran ekonomi dan taraf pembangunan yang mampan serta dapat dikecapi oleh seluruh warganya secara bersama.

Sekadar memetik beberapa senario, bekerja dalam bidang keselamatan akan mewujudkan kehidupan masyarakat yang aman makmur dan seterusnya menyumbang kepada kestabilan negara. Bekerja dalam bidang kesihatan pula akan mewujudkan masyarakat sihat dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan produktiviti negara. Begitu juga bekerja dalam bidang pendidikan akan melahirkan masyarakat yang intelek dan seterusnya boleh menyumbang pengetahuan yang dimiliki kepada pembangunan dan kemajuan negara. Penghayatan terhadap konsep 'sumbang' dan 'menyumbang' tersebut akan menghasilkan 'daya penggerak' kepada hasil kerja yang lebih baik, kesan motivasi yang tinggi, mengurangkan masalah kerja sebaliknya lebih tertumpu dan diakhirnya memberi kepuasan bekerja yang sebenar-benarnya. Dalam hal ini, ia juga tampak selari dengan konsep what you give you get back di mana setiap sumbangan yang diberikan dalam konteks pekerjaan berpaksikan agama, bangsa dan negara akan diterima semula individu khususnya dalam bentuk keberkatan kehidupan, kesejahteraan bermasyarakat dan kemakmuran negara yang berterusan.

Rangkuman

Pekerjaan adalah alternatif untuk mendapatkan balasan yang berguna untuk mengisi keperluan manusia. Namun selain dari mengisi keperluan tersebut, ia juga sama ada secara langsung atau tidak bakal menyumbang kepada kekuatan agama, masyarakat dan negara. Masyarakat pekerja perlu menyedari dan menghayati hakikat ini. Apabila telah sedar dan dipraktis maka impaknya nanti akan lebih menyeluruh dan tidak hanya sekadar berada dalam kepompong individu semata-mata. Mengetahui akan perkara ini, maka masyarakat pekerja perlu lebih fokus dalam melaksanakan fungsi dan peranan yang terbaik selari dengan kehendak kendiri, agama, masyarakat dan negara sekaligus. Segalanya demi menjadi pekerja yang cemerlang dan seterusnya menunaikan tanggungjawab yang tuntas sebagai warganegara. Sekurang-kurangnya dari kecemerlangan tersebut juga akan menjelmakan gambaran patriotisme yakni semangat kecintaan yang ampuh demi agama, masyarakat dan negara. SELAMAT HARI PEKERJA 2025. Wassalam.

Author : Hasron @ Kajang, Selangor DE

Comments