Skip to main content

PEJUANG BIJAKSANA


PEJUANG BIJAKSANA
(Semangat Hari Pahlawan 2026)

Sosok pejuang itu...
Bukan gagah menggalas senjata
Bukan tangkas di medan perang
Demi terlihat dia perkasa
Namun cukup di batinnya
Punya upaya menyusun strategi
Berlandas bijaksana nan ampuh

Pejuang bijaksana...
Pada petah hujung bicara
Ada makna menusuk jantung
Dalam senyap merobek jiwa
Walau halus namun berbisa
Hingga segala isi kandungnya
Menggegar seantero dunia

Pejuang bijaksana...
Pada gaya dan tingkah
Bukan semberono langkahnya
Kukuh berpaksi akal dan ilmu
Kerana di situ ada titik karisma
Menggerun kawan dan lawan
Membina negara dan bangsa

Pejuang bijaksana...
Pada setiap cacian dan nista
Dirai dengan senyuman
Disanggah dengan idealis
Dan di sebalik sifat itu
Ada tersirat ribuan makna
Buat pendurjana layu terkesima

Pejuang bijaksana...
Pada prinsip dan akarnya
Dikelek kejap digenggam erat
Tetap teguh dipertahan
Biar nyawa dikandung badan
Tidak sesekali berubah laku
Alamat istiqomah dalam berjuang

Pejuang bijaksana...
Meski tampak diam 
Namun kentalnya ada
Pada wajah, pada naluri
dan pada hatinya
Hanya kepada Pencipta.

Catatan :
Hasron Nazri Hashim (HasronNH)

Comments