Kemahiran Dan Pengetahuan
Apakah kemahiran dan pengetahuan?
Kemahiran dan pengetahuan merupakan elemen penting dalam kehidupan manusia. Saling berkait dan lengkap melengkapi antara satu sama lain. Kriteria penting untuk memastikan apa sahaja yang dilakukan dalam segenap aspek kehidupan betul di landasannya khususnya bagi membezakan apa yang baik atau buruk, betul atau salah dan menentukan apa yang boleh dibuat atau tidak boleh dilakukan. Sesuai dengan kepentingannya, kemahiran dan pengetahuan tersebut harus berkembang dan dipindahkan dari individu kepada individu lain atau dari satu sumber kepada sumber yang lain. Proses pemindahan tersebut perlu menggunakan 'medium' yang sesuai sebagai perantara sama ada dengan menggunakan instrumen fizikal atau non fizikal mahupun melalui interaksi di antara manusia dengan manusia. Menilai dalam konteks semasa, pendekatan human to human dilihat masih releven manakala kemajuan teknologi lebih sesuai menjadi 'pelengkap' atau metode kepada rentetan pemindahan tersebut. Medium interaksi yang wujud itu akan melahirkan apa yang dipanggil sebagai jurulatih atau pengajar.
Perantara
Siapakah jurulatih dan tenaga pengajar tersebut?
Jurulatih adalah orang yang melatih orang lain supaya mahir. Manakala pengajar pula adalah orang yang bertanggungjawab untuk menyampaikan ilmu, memberikan latihan atau membimbing orang lain dalam sesuatu bidang. Perbezaannya, jurulatih fokus kepada membina potensi diri dan prestasi manakala pengajar memfokuskan kepada pemindahan ilmu. Sementara itu, persamaan di antaranya pula akan menjurus dari aspek matlamat akhir iaitu untuk membina kemahiran dan meningkatkan pengetahuan seseorang individu dalam sesuatu bidang atau ilmu sama ada secara teori atau praktikal. Kemahiran dan pengetahuan yang diperolehi pula akan digunakan bagi memastikan sesuatu dapat dirancang dan dilaksanakan bagi mencapai matlamat diri, melestari kehidupan atau mengoperasikan organisasi sama ada berteraskan perkhidmatan mahupun keuntungan. Dalam konteks organisasi, peranan mereka sebagai perantara adalah sangat besar. Bukan sahaja sebagai ikon yang bertanggungjawab mengembang dan memindahkan kemahiran dan pengetahuan tetapi juga perlu memastikan elemen tersebut diperkasa dan dibudayakan bagi memastikan kecemerlangan organisasi.
Aset Strategik
Apa kepentingan kepada sesebuah organisasi?
Apabila menyentuh tentang organisasi, maka tidak dapat tidak akan memperlihatkan kepentingan medium dan hubungannya dengan pengembangan kemahiran dan pengetahuan. Perlu diselarikan agar organisasi boleh berdaya maju, fleksibel dan bertindak balas dengan unsur-unsur di persekitarannya supaya kekal releven. Agenda tersebut hanya boleh dicapai apabila memiliki medium yang berkualiti untuk melahirkan sumber manusia yang berkemahiran dan berpengetahuan tinggi. Hakikat ini menjadikan semua organisasi seolah-olah sedang 'berlumba' untuk memastikan mereka mempunyai aset strategik yang boleh berperanan menambah serta memindahkan kemahiran dan pengetahuan kepada sumber manusia lain yang sudah pun memilikinya secara asas atau meningkatkan kemahiran dan pengetahuan kepada mereka yang telah 'beku' kerana terikut-ikut 'tradisi'. Tidak hairan lah jika ada organisasi sanggup 'berbelanja besar' dalam menyediakan aset dan 'fasilitis' terbaik bagi memastikan kemahiran dan pengetahuan dapat diterjemah dan disalurkan dengan sistematik dan berkesan. Ini bagi membolehkan ia diterima dengan baik oleh golongan sasaran dan impaknya dapat diimplementasi kepada organisasi. Bukan sekadar sebagai 'janji ada' tetapi sebagai satu 'budaya' berprestasi tinggi yang 'wajib ada' dalam sesebuah organisasi.
Kepelbagaian
Mengapa perlunya kepelbagaian kemahiran dan pengetahuan?
Namun seharusnya medium kemahiran dan pengetahuan tersebut multipurpose atau menyeluruh sifatnya. Perkara ini penting kerana di zaman mutakhir disiplin kemahiran dan pengetahuan sudah semakin berkembang pantas dan tiada berkesudahan. Tidak hanya menjurus kepada satu-satu bidang sahaja malah mencakupi perkara yang mungkin tidak terjangkau oleh pemikiran biasa atau di luar ruang lingkup tugasan. Ini adalah bagi memastikan sumber yang ada tidak ketinggalan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada amalan atau ilmu sedia wujud yang absolute sifatnya. Organisasi akan lebih terbuka seandainya sumber manusia memiliki kemahiran dan pengetahuan lebih dari satu bidang terutamanya yang terzahir dari pencapaian akademik, bakat semulajadi atau pengalaman mereka. Pekerja seperti ini boleh menggunakan kelebihan yang ada bagi menggabung jalinkan pelbagai idea dalam satu tugas supaya lebih berkualiti selain berkemampuan melaksanakan tugasan di luar lingkungan sebenar. Utilize kelebihan yang ada tetapi awas, dalam situasi ini pengurus perlu bijak merancang supaya tidak membebankan pekerja dengan tugasan di luar skop yang terlalu banyak bagi mengelakkan pengaliran keluar sumber mahir dan berilmu secara kurang wajar.
Persediaan
Apa kelebihan yang perlu dimiliki?
Organisasi seharusnya bersedia untuk mengambil peluang terhadap situasi ini seandainya mahu bersaing, mencapai matlamat dan mengekalkan momentum pencapaiannya. Dalam hal ini, organisasi perlu memastikan jurulatih atau pengajar lebih advance dengan memberi tumpuan kepada pengembangan kemahiran dan pengetahuan melalui Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP), diskusi, brainstorming dan percambahan idea supaya lebih kreatif dan berinovasi. Kemahiran dan pengetahuan yang bermalar segar perlu sentiasa dicari, dikaji kesesuaiannya serta dipraktis jika ternyata baik untuk disalurkan kepada perkembangan organisasi. Selain itu, usaha membina karakter juga tidak harus dikesampingkan. Sifat-sifat seperti empati, tegas, positif, berprinsip dan berwawasan perlu diperkukuhkan kerana ia adalah faktor penyangga kepada kredibiliti kemahiran dan pengetahuan yang disampaikan. Kaedah penyalurannya pula wajar tampak sophisticated agar lebih efisyen dan boleh bergerak selari dengan trend dan demand generasi pekerja dewasa ini.
Kesimpulan
Apakah sandaran yang dimahukan?
Tiada siapa boleh menyanggah peranan kemahiran dan pengetahuan dalam segenap aspek kehidupan manusia. Kepentingan kedua-dua unsur tersebut menyebabkannya perlu diwarisi dan dipindahkan sama ada secara formal atau non formal melalui medium yang tepat dan sesuai di mana salah satunya adalah melalui seorang jurulatih atau pengajar. Mereka ini memiliki tanggungjawab yang sangat besar demi memastikan budaya memartabatkan kemahiran dan pengetahuan berkelangsungan dalam organisasi. Bagi memastikan matlamat tersebut dipenuhi pastinya mereka perlu sentiasa dipertingkatkan dengan kepelbagaian kemahiran dan pengetahuan melalui berbagai kaedah bagi merealitikan kesannya. Ini adalah bagi menjanjikan wujudnya masyarakat yang berkemahiran dan berpengetahuan secara berterusan, total, tiada penghalang atau tidak terhenti terutamanya atas faktor-faktor dalam kawalan. Adalah diharapkan dengan adanya usaha semua pihak akan dapat membantu membina Malaysia yang lebih dinamik dan progresif berakar umbikan kemahiran dan pengetahuan masyarakatnya yang ampuh. Wassalam.
Author : Hasron Nazri Hashim, Kajang, Selangor DE

Comments
Post a Comment