Pekerjaan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pekerjaan didefinisikan sebagai sesuatu yang dilakukan (harus dilakukan) sebagai tanggungjawab, kewajipan atau tugas. Selain itu, ia didefinisikan sebagai sesuatu (usaha, kegiatan, dsb) yang dilakukan berterusan (dari sehari ke sahari) untuk keperluan hidup, usaha atau kegiatan untuk mendapatkan wang. Rentetan beberapa pengertian tersebut, ramai melihat sesuatu pekerjaan itu dilaksanakan semata-mata untuk mendapatkan upah atau wang. Satu kenyataan yang tidak salah malah sangat tepat dengan melihat kepada keperluan kehidupan manusia. Persoalannya adakah cukup dengan semata-mata bersandarkan kepada upah atau wang sahaja? Atau ada lagi elemen lain yang perlu dipenuhi? Perkara ini perlu dirujuk kepada makna keperluan itu sendiri khususnya dalam konteks kehidupan manusia yang universal. Dalam hal ini elok juga dilihat kepada Teori Hierarki Keperluan Maslow di mana keperluan utama manusia adalah bagi memenuhi tuntutan fisiologi iaitu wang melalui upah selain elemen keselamatan, sosial, penghargaan diri dan hasrat diri. Selain teori konvensional, cendiakawan Islam melalui Imam Al-Ghazali juga telah menggariskan keperluan manusia berasaskan jasmani, akal dan kerohanian. Ringkasnya, dunia dan akhirat harus seiring bagi mencapai nilai erti pekerjaan serta kehidupan yang sebenarnya.
Kepuasan Bekerja
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kepuasan didefinisikan sebagai perihal puas, kelegaan, kenikmatan dan kesenangan. Selain itu, ia boleh juga ditafsirkan sebagai berasa senang kerana sudah terpenuh hasrat hati. Sangat abstrak sifatnya dan boleh wujud dalam pelbagai dimensi kejiwaan kehidupan manusia di mana salah satunya adalah berkaitan dengan dunia pekerjaan. Dalam konteks pekerjaan, kepuasan bekerja bermula dengan 'niat' yang baik sebelum diterjemahkan kepada rasa positif dalam diri, ketenangan serta kegembiraan semasa atau selepas melaksanakan sesuatu pekerjaan. Perasaan itu akan bertambah apabila pekerjaan tersebut membuahkan hasil yang dimatlamatkan atau lebih lagi apabila ia berjaya mengatasi matlamat. Kepuasan bekerja perlu sentiasa ada memandangkan pekerjaan adalah sebahagian dari 'dunia' kehidupan manusia. Di Malaysia contohnya, seseorang memperuntukan sekurang-kurangnya lapan jam atau lebih dalam sehari untuk diisi dengan pekerjaan. Itu tidak termasuk lagi anggaran masa perjalanan pergi dan balik yang nyata berbeda bagi setiap orang. Senario ini bermakna lebih dari satu pertiga masa dalam sehari diperuntukkan kepada pekerjaan dan sewajarnya entiti kepuasan tersebut diberi perhatian.
Kesalingan
Pekerjaan dan kepuasan adalah kombinasi yang sangat berkait dan mempunyai kepentingan masing-masing khususnya dalam mencari dan mencipta kesempurnaan kehidupan. Tujuan melaksanakan pekerjaan adalah untuk menerima balasan iaitu upah. Namun, adakah upah tersebut boleh mendatangkan kepuasan yang hakiki? Kesalingan kedua-duanya berlengkar kepada situasi di mana adakah memadai jika bekerja demi memperolehi imbuhan metarial tetapi jiwa tidak tenang atau kosong. Adakah berbaloi jika berjawatan tinggi tetapi kehidupan masih dibelenggu dengan rasa tertekan, takut, sedih dan seumpamanya. Mungkin juga secara fizikalnya tugasan dikira sebagai 'selesai' tetapi masih 'terasa' seperti ada 'sesuatu' yang tidak terlunas dari pojok spritnya. Mengapa keadaan ini berlaku? Boleh jadi juga kerana kerja yang dijalankan tidak disertakan dengan matlamat kepuasan yang terkandung di sebalik pelaksanaan dan penghasilan kerja tersebut. Hakikatnya, kepuasan akan datang jika kerja dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan, menepati kualiti yang disasarkan, selari dengan sistem pengukuran dan mencapai output yang dimahukan oleh organisasi. Segala keringat, kerja keras dan komitmen pastinya akan terbalas dengan ternoktahnya sebuah kejayaan. Momentum kepuasan ini akan bertambah apabila wujudnya persekitaran kerja yang selesa dan hubungan yang baik atau esprit de core sesama rakan sekerja. Kepuasan total tidak akan datang jika kerja dilaksanakan sambil lewa atau sekadar melepaskan batuk di tangga, tiada sasaran khusus, tiada keikhlasan dan kejujuran yang seharusnya dijadikan sandaran utama. Semakin bermakna, apabila kepuasan tersebut hadir melalui pekerjaan yang dilakukan demi mencari keredaan Allah S.W.T, nawaitu mencari rezeki yang halal dan dilaksanakan dengan penuh berintegriti serta bertanggungjawab.
Keberhasilan
Jika pekerjaan dilakukan dengan berpaksi kepada kepuasan, ia akan memberi 'nikmat' yang lebih positif kepada individu dan bakal memberi warna kepada pekerjaan yang mereka lakukan selain organisasi yang diwakili. Kerja akan menjadi lebih terfokus, motivasi akan meningkat, mampu mengurangkan risiko kesilapan, mengekalkan konsistensi dan seterusnya mendorong penghasilan kualiti kerja yang lebih baik serta berprestasi tinggi untuk menyumbang kepada peningkatan produktiviti. Dari sudut psikologi, kepuasan bekerja akan membantu mengurangkan stres akibat bebanan tugas serta persekitaran kerja yang kurang kondusif dan kelebihan ini mampu membawa kepada peningkatan tahap kesihatan dalaman dan luaran. Paling tidak ia akan dapat mengatasi masalah kecelaruan mental di kalangan pekerja yang agak membimbangkan dewasa ini. Situasi kesalingan juga akan membuka ruang seluasnya kepada pengimarahan nilai keinsanan seperti amanah, jujur dan ikhlas di mana natijah darinya akan menyumbang kepada anugerah pahala yang berlipat kali ganda. Dalam masa sama, ia boleh menghindari sifat negatif seperti rasa malas, berkira, pesimis dan tidak beretika yang menjadi 'toksik' dalam ruang lingkup tugasan. Secara keseluruhannya, keserasian kepuasan dalam pekerjaan ini sama ada secara langsung atau tidak akan membawa kepada peningkatan kualiti semua entiti kehidupan atau life style individu bergelar pekerja.
Harapan
Semua organisasi bermatlamatkan 'pulangan' yang akan membolehkan ia bertahan rasional atau kekal releven di dalam persekitaran. Kekuatan utama adalah terletak kepada kredibiliti dan efisiensi sumber manusianya yang berfungsi sebagai individu atau sekelompok individu yang menggerakkan proses mencapai matlamat tersebut. Melihat kepada peranan sumber manusia organisasi yang sangat 'berat' ketika ini maka mereka perlu 'berada' dalam persekitaran yang membina dan kondusif dengan unsur yang boleh membawa kepada kepuasaan dalam pekerjaan mereka. Justeru harapannya, sebagai insan yang bergelar pekerja, mereka perlu 'adil' kepada kedua-duanya dan berpegang kepada prinsip matlamat pekerjaan adalah kepuasan. Gabungan kedua-dua akan mendorong manfaat bersama di mana jika organisasi bersifat tuntas, pekerja pula memperolehi kehidupan yang lebih bermakna sama ada dalam kehidupan di dunia mahupun kebahagiaan di akhirat kelak. Di akhirnya nanti, kekuatan organisasi akan mendorong kepada kemajuan negara dan seterusnya melahirkan masyarakat yang progresif. Oleh yang demikian, semarakkan situasi menang-menang di antara pekerjaan dan kepuasan. Selamat Hari Pekerja. Wassalam.
Author : ACP Hasron Nazri Hashim, Pen. Pengarah Rekod Personel PDRM. MHRD UPM

Comments
Post a Comment