Robot
Robot sangat sinonem dengan kehidupan manusia. Namun siapakah robot? Robot adalah mesin automatik yang diprogramkan untuk bergerak dan melakukan sesetengah kerja bagaikan seorang manusia (Kamus Dewan Edisi Keempat). Selain itu, robot merupakan mesin yang dapat melakukan atau membuat berbagai-bagai pekerjaan manusia (Kamus Dewan Edisi Kedua). Sejarah terciptanya robot adalah sangat panjang di mana evolusinya berlaku sejak Zaman Kuno, Abad Pertengahan, Zaman Renaisans, Abad Ke-20 sehingga Era Moden sekarang ini. Entiti asas sesuatu robot adalah 'kawalan' yang membolehkan ia menghasilkan sesuatu 'tindakan'. Bagi menentukan fungsinya, elemen kawalan tersebut perlu 'diprogramkan'. Lebih dramatik, robot juga dilengkapi dengan elemen 'deria' secara elektronik yang sensitif kepada apa yang diterima, disentuh atau dilihat. Zaman ini, kecanggihan teknologi telah memungkinkan robot untuk melaksanakan tugas manusia khususnya tugasan berbahaya, berat dan berulang malah turut diberi jiwa sama seperti manusia. Namun walaupun ada usaha penciptaan robot sama seperti manusia tetapi perbezaannya tetap ada, nyata dan tidak dapat dipertikaikan khususnya dari sudut roh, kejiwaan dan perwatakan.
Polis Adalah Robot
Realitinya dewasa ini, banyak disiplin pekerjaan yang asalnya dilakukan oleh manusia telah diambil alih oleh robot. Cuba bayangkan jika tugasan polis seperti mengekalkan ketenteraman awam, mencegah jenayah, melaksanakan operasi, menangkap dan mendakwa dilaksanakan sepenuhnya oleh robot. Mengapa tidak? Gambarannya telah wujud walaupun buat masa ini ia hanya imaginasi dan fiksyen sebagaimana dicitrakan dalam filem Hollywood bertajuk 'RoboCop'. Filem yang mencetuskan fenomena robotik bermula sekitar 1987 tersebut mengisahkan manusia dicipta sebagai robot yang mana sebahagiannya adalah manusia dan sebahagiannya lagi adalah robot. Tercipta untuk membanteras kejahatan, memburu penjahat dan korupsi yang berlaku. Begitu juga gambaran yang diberikan dalam filem berjudul 'Chappie' yang berlatar masa depan apabila jenayah di Kota Raya Johannesburg dibendung oleh pasukan polis robot yang mampu berfikir dan berperasaan seperti manusia. Bayangkan jika robot tersebut ditambah nilai dengan 'roh' patriotik, fokus membantu dan melindungi masyarakat dalam apa keadaan sekalipun, berbudi bahasa dalam berbicara, berdisiplin dan berintegriti impaknya pasti berlainan jika dibandingkan dengan situasi semasa. Andainya tugas kepolisan diambil alih oleh robot sepenuhnya maka masyarakat atau 'netizen' pastinya akan lebih 'selesa' dan merasa lebih 'selamat' kerana 'mungkin' tiada lagi kejahatan, kekejaman, salah guna kuasa dan korupsi yang 'didakwa' sering berlaku terhadap polis manusia.
Polis Bukan Robot
![]() |
| Realitinya polis masih bukan robot... |
Di Malaysia walaupun telah ada tugasan polis dilaksanakan oleh mesin atau robot khususnya sebagai fungsi sokongan namun realitinya polis masih bukan robot yang boleh diprogramkan bagi tujuan lebih besar. Sebaliknya polis adalah manusia biasa yang diprogramkan keistimewaan dan kelemahan tersendiri oleh Allah S.W.T secara spritual. Dalam hal ini, jika dilihat kepada falsafah positif kejadian manusia, mereka 'diberi' sifat kebaikan, kelebihan untuk memahami dan membuat keputusan yang selari dengan prinsip kehidupan, bertindak dengan waras dan bertanggungjawab dengan apa yang dilakukannya. Namun selain itu, manusia juga diprogramkan dengan musuh utama iaitu nafsu yang menyebabkan mereka tidak dapat membuat pertimbangan yang tepat terhadap sesuatu. Ini kerana kedua-dua 'bukan' dikawal dengan sistem secara elektronik tetapi ditentukan oleh manusia itu sendiri. Jika gagal dikawal akan menyebabkan mereka terjerumus ke arah nafsu jahat yang mengakibatkan mereka terjebak melakukan perkara-perkara keburukan. Tambah lagi, manusia boleh berusaha untuk 'mengawal' diri mereka dengan berbagai pendekatan namun keberhasilannya akan ditentukan secara total oleh 'kuasa' yang tidak terjangkau dek fikiran iaitu Pencipta mereka. Kelebihan dan kelemahan atau kebaikan dan keburukan tersebut terdapat kepada semua manusia termasuk polis.
Prinsip Kejadian Manusia dan Tugasan Polis
Komponen yang saling berkait. Seperti yang lain, manusia yang bergelar polis juga memiliki akal fikiran dan nafsu yang boleh membawa kepada kebaikan atau keburukan jika tidak dikawal dengan sempurna. Senario ini akan memberi kesan terhadap apa yang mereka lakukan atau apa yang mereka kerjakan. Jika dikerjakan dengan akal fikiran maka baiklah hasil kerjanya dan mampu memuaskan hati semua pihak. Lain pula jika dikerjakan di bawah kawalan nafsu maka buruk lah hasil kerjanya dan pastinya akan berdepan dengan pelbagai cemuhan. Faktor baik buruk tersebut ada kalanya bergantung kepada apa yang mereka terima di persekitarannya. Hakikatnya, polis terpaksa berdepan dengan pelbagai manusia lain di lapangan yang memiliki berbagai sistem saraf. Ada manusia yang hidup dengan penuh kejahatan, ada yang hidup penuh penipuan, ada yang suka mengambil kesempatan, ada yang sukar mengakui kesilapan sendiri, ada yang mengutamakan kepentingan peribadi dan ada yang hidup penuh hipokrit. Dalam berdepan rencah ragam manusia ini, polis harus mengguna dan mengawal apa sahaja yang ada di dalam diri mereka sebagai kekuatan untuk berhadapan dengan cabaran fizikal dan mental di persekitaran mereka. Cabaran yang setiap masa berubah momentumnya, bersifat pelbagai dan kadang kala 'godaannya' tidak terdaya untuk dihadapi. Tambahan pula, polis bukan robot yang boleh diinterpritasikan mengikut kehendak-kehendak tertentu atau disuruh melakukan sesuatu atau tidak melakukan sesuatu.
![]() |
| Polis bukan robot yang boleh diinterpritasikan mengikut kehendak-kehendak tertentu... |
Pertimbangan Masyarakat
Sememangnya dalam kehidupan ini lebih-lebih lagi dengan adanya citra fiksyen di layar perak, masyarakat sangat teruja kepada perkara-perkara luar kotak yang dijelmakan oleh robot sebagai polis. Namun demikian, jangan samakan seorang polis sebagai manusia biasa dengan robot untuk menjalankan tugas-tugas melindungi keselamatan mereka. Ekpektasinya jangan terlalu tinggi kerana tidak mungkin hasil kerja manusia sama seperti yang dihasilkan oleh robot. Hakikat di Malaysia polis bukan robot yang mana struktur mekanisnya boleh di atur gerak, diarah dan dikawal sehingga mampu menampakkan kebaikannya. Polis sebenar memiliki rasa, perasaan dan jiwa yang perlu 'dipelihara' oleh diri mereka sendiri berbekalkan kepada 'perintah' Sang Pencipta mereka serta kawalan standard dan peraturan yang tertentu oleh organisasi. Ini bermakna 'kendiri' adalah faktor penentu untuk menyumbang sesuatu yang terbaik dalam aspek penugasan dan seterusnya memberi hasil yang jitu bagi mengisi keperluan masyarakat sebagai pelanggan. Elemen lain hanyalah bertindak sebagai menyokong, memperkemas dan memperteguhkan semata-mata. Dalam hal ini, pertimbangan masyarakat seharusnya bersifat adil dan tidak tergopoh gapah dalam membuat spekulasi atau penghakiman kerana polis bukan robot yang dianggap sempurna tetapi manusia biasa sama seperti mereka yang juga memiliki keistimewaan dan kelemahan tersendiri.
![]() |
| Jangan samakan seorang polis sebagai manusia biasa dengan robot... |
Harapan Bersama
Walaupun polis bukan robot tetapi masyarakat mengharapkan wujudnya Pasukan Polis yang bukan sahaja mampu berkhidmat sebagaimana garis panduan yang tetapkan tetapi juga memiliki 'aura' dan 'nurani' sebagai seorang insan. Bagi merealitikan perkara ini, teguran yang bersifat 'membina' sangat diperlukan supaya ia boleh 'membantu' memprogramkan jiwa kepolisan sama ada di kalangan polis sendiri mahupun di kalangan masyarakat. Tujuannya supaya polis akan menjadi lebih baik dalam kapasitinya manakala masyarakat juga akan menjadi pengkritik yang lebih baik dalam kapasiti mereka dan seterusnya boleh menerima baik Perkhidmatan Polis. Semestinya kedudukan menang-menang bagi kedua-dua pihak bakal menjadi alternatif untuk memperbaiki sebarang kelemahan yang mungkin wujud. Namun jika masyarakat berkehendakkan polis seperti robot maka perlu diingatkan bahawa robot adalah mesin yang diprogramkan. Apabila melibatkan elemen diprogramkan maka akan wujud elemen manupulasi oleh sifat-sifat manusiawi memandangkan yang memprogramkan robot tersebut adalah manusia biasa. Manusia yang jiwa dan spritualnya terarah kepada elemen positif dan negatif bercampur baur. Kesudahannya maka terhasil lah sang robot yang berjiwa atau bertopengkan manusia dan pastinya akan mewarisi sifat-sifat manusia tersebut. Itulah sisi kelemahan robot yang mungkin tidak sepenuhnya dilihat oleh masyarakat. Sesungguhnya robot dan manusia bukan ciptaan sempurna sebagaimana yang ditegaskan dalam Islam bahawa insan yang paling sempurna atau 'Insan Kamil' hanyalah dimiliki oleh Nabi Muhammad S.A.W. Renung-renungkan. Selamat Hari Polis 2026. Wassalam.
Author : ACP Hasron Nazri Hashim, Penolong Pengarah Perkhidmatan (Rekod Personel) Bukit Aman.




Comments
Post a Comment