![]() |
"bebas dalam bentuk yang tuntas sifatnya atau bukan semberono dan memudaratkan" |
Merdeka
Dalam konteks bernegara, merdeka bermaksud bebas daripada penjajahan, kurungan dan naungan. Selari dengan itu, dalam konteks Malaysia ia menandakan negara ini bebas dari penjajahan setelah 446 tahun berada dalam cengkaman kuasa lain yang lebih dominan dari pelbagai aspek berbanding negara ini. Lebih dari itu, merdeka dalam konteks negara pastinya turut berkait rapat dengan makna merdeka yang dimiliki masyarakatnya. Dengan kata lain, masyarakatnya juga berhak mengecapi kebebasan selari dengan terbebasnya tanahair dari lingkungan penjajah. Bebas yang bukan sahaja diistilahkan sebagai tidak terhalang untuk bergerak, bercakap, tidak terkongkong atau terkurung malah bebas melakukan segala sesuatu mengikut kehendak dan keperluan kehidupan seharian mereka. Namun dari pojok yang lain, bebas dalam bentuk yang tuntas sifatnya atau bukan semberono dan memudaratkan. Dalam memastikan perkara ini, tumpuan harus difokuskan kepada bagaimana untuk mempergunakan ruang-ruang kebebasan itu supaya kena pada tempatnya demi menjadi masyarakat yang lebih baik sifat peribadinya, cekap daya fikirnya dan teguh penderiannya.
Citra
Bagaimana masyarakat melihat merdeka itu sebagai sebahagian dari kehidupan mereka? Realitinya jika diselidiki, ramai yang memaksudkan merdeka itu sebagai bebas dari cengkaman penjajah. Akan tetapi, cukupkah dengan pengertian tersebut bagi menggambarkan sebuah kehidupan masa kini dan masa depan masyarakat yang lebih baik? Mencitrakan merdeka melalui pelaksanaan berbagai 'pesta' dan program yang dilabelkan sebagai 'menyambut' ulang tahun tarikh keramat kemerdekaan. Akan tetapi, memadaikah penganjuran tersebut untuk menggambarkan 'rasa' patriotisme sebenar di kalangan masyarakat? Begitu juga, merdeka sering dimomokkan sebagai 'nilai' kemajuan dalam persekitaran kehidupan. Namun, adakah ia merupakan elemen 'membantu' untuk memastikan kehidupan masyarakat yang lebih sempurna? Jawapannya tidak semudah itu. Ini kerana, merdeka itu adalah citra kehidupan insan-insan yang mencorakkan sesebuah negara. Bukan sahaja dilihat dari sudut fizikal semata-mata malah turut meliputi jiwa, spritual dan semangat yang berupaya menterjemahkan entiti persekitarannya dengan lebih sempurna sebagai panduan menuju ke arah kebaikan dan kebenaran. Mahu mendefinisikannya pula bukan sesuatu yang 'enteng' kerana persoalan kerohanian adalah subjektif pembawaannya dan hanya pemunya diri yang boleh merealisasikannya berlandaskan kepada 'didikan' yang diterima.
Kematangan
Jika dilihat dari tempoh kemerdekaan negara yang telah pun mencecah ke angka 68 tahun, ia bukan lah suatu jangka masa yang singkat. Sekiranya dianalogikan kepada umur seorang manusia, ia sudah dikira memasuki kepada peringkat tua selepas melalui zaman dewasa, remaja dan kanak-kanak. Pastinya tempoh masa yang digambarkan itu dikira telah melepasi pelbagai peringkat kematangan khususnya kematangan fizikal, kematangan emosi dan kematangan sosial. Faktor yang mempengaruhi kematangan tersebut pula adalah pelbagai dan berbeda mengikut pengalaman hidup dan persekitaran seseorang. Hakikatnya, dengan melihat kepada tempoh masa tersebut, ia menandakan bahawa masyarakat di negara ini sudah matang dalam segala hal kehidupannya. Mampu berdiri di atas kaki sendiri, boleh membawa diri dalam pelbagai keadaan dan dapat membuat pertimbangan sewajarnya terhadap apa yang dilihat dan dilaluinya. Maka di sini, apa yang lebih penting adalah menyerlahkan kematangan diri melalui kebebasan yang ada bagi membantu memastikan kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara secara keseluruhannya.
Sifat
Merdeka yang sebenar-benarnya adalah kemampuan untuk mencorak dan mempergunakan kebebasan yang ada dari sudut yang positif. Menjadi individu yang sentiasa bersedia untuk berubah menjadi baik atau lebih baik serta sedaya upaya untuk mengekal dan mempraktikkan kebaikan tersebut. Harus berupaya membebaskan diri dari perkara yang tidak memberi keuntungan atau mendatangkan kerosakan kepada diri, masyarakat dan negaranya. Sebaiknya menggunakan kebebasan yang ada untuk menyumbang perkara-perkara yang bermanfaat kepada semua samada melalui perlakuan, percakapan atau cetusan idea. Meraikan kebebasan dengan mempertingkatkan ilmu dan pengetahuan di tahap tertinggi untuk digunakan sebagai pemangkin kepada kemajuan diri, masyarakat dan negara. Di samping itu, wajar juga menggunakan sepenuhnya kebebasan sebagai wadah memperteguhkan nilai agama dan etika demi menjadi sosok yang berjaya di dunia apatah lagi di akhirat. Ini lah sifat-sifat membina yang perlu lahir dari liang-liang kebebasan yang wujud tersebut. Bukan sekadar retorik atau omongan untuk menggunakan kebebasan secara keterlaluan demi kepentingan peribadi atau kelompok tertentu tanpa memikirkan kesannya kepada perkara yang lebih utama dan besar sifatnya.
Harapan
Merdeka adalah kebebasan dan ia perlu diraikan dengan cara yang betul dan tepat. Makna sebenar kebebasan wajar difahami dan dihayati terlebih dahulu supaya cerminannya adalah identiti dan rupa bangsa yang tuntas. Coraknya perlu lebih terarah kepada perkara yang positif terutamanya berlandaskan akhlak dan adab Islam demi mendambakan impak yang lebih baik berbanding menggunakannya dengan cara dan tujuan yang bertentangan dengan prinsip tersebut. Panjatkan rasa kesyukuran yang mendalam kerana anugerah kebebasan itu bukan mudah untuk diperolehi jika bukan di atas keizinanNya jua. Justeru, pergunakan kebebasan sebagai agen meningkatkan kapasiti diri untuk bersama-sama menyumbang kepada keutuhan masyarakat, agama dan negara. Sebaiknya, elakkan dari menggunakan kebebasan tersebut dalam ruang lingkup yang 'sempit' sehingga boleh menghancurkan segala yang terlangsung sejak 68 tahun yang lalu. Apa yang diharapkan, semoga negara Malaysia terus kekal gah selamanya berpaksikan citra kebebasan dari kekuatan entiti tapak binanya. Wassalam.
Author : Hasron @ Kajang, Selangor DE, MHRD (UPM)
Comments
Post a Comment