Skip to main content

PEJUANG SEJATI

Pejuang Sejati

Tertib berjuang dan bertanah air
Berbekal jiwa dan makrifat,
Mencetus keberanian sinau kersani
Menatang jati diri penuh daya
Berbekal semangat dan cinta
Menegak hukum penahan maruah
Menepis tingkah musuh durjana
Menangkis si perobek keadilan
Itulah tuntas sifat pejuang
Kering darah selagi berdiri
Warisan moyang segenap dasawarsa

Namun pejuang sejati itu
Bukan ertinya mengendeng senjata ampuh
Tidak sekadar tempik dan sorak di jalanan
Bukan galak gempita penuh omongan
Tidak berbicara tanpa rasa dan nyata
Dengan laku tanpa makna
Demi menyusuri pojok nan sempit
Hajat melihat kepompong sendiri  

Namun pejuang sejati itu
Punyai mata fikir setajam lok tujuh
Ada gerak laku insani penuh susila
Punyai suara mulus penuh jurus
Ada akal menyusun strategi bestari
Dengan intelek berbaja ilmu
Demi melihat dunia milik sejagat
Niat mendamba tulusnya matlamat

Pejuang sejati itu
Pada bangsa...dia setia
Pada agama...dia pertahankan
Pada negara...dia daulatkan
Dengan minda visi dan misi semata
Harus terbina mekar selamanya
Atas nama sebuah ceritera perjuangan
Tangkas diperturun generasi ke generasi
Kerana itu lah 
amanah pejuang sejati.

Nukilan :
Hasron Nazri Hashim
@ Kajang, Selangor DE



Comments