Skip to main content

WIRA SAMUDERA SANG SAKA BIRU


SAMUDERA :
BUKAN SEKADAR KEUNIKAN

Samudera bermaksud lautan yang luas. Catatan menunjukkan bahawa 71 peratus dari permukaan bumi adalah lautan. Ini bermakna lautan memonopoli lebih dari separuh permukaan bumi. Hanya 29 peratus meliputi daratan yang boleh didiami secara normal oleh manusia. Walaupun perbezaan yang sangat ketara, hakikatnya manusia dan lautan adalah dua unsur yang tidak dapat dipisahkan malah saling melengkapi. Sumber lautan yang kaya dengan hasil mahsulnya menjadi elemen yang menyempurnakan kehidupan manusia. Lautan menjadi sumber inspirasi kerana keindahannya dan merupakan pemangkin untuk manusia melimpahkan rasa kesyukuran kepada Allah S.WT atas nikmat yang dianugerahkan. Lautan menjadi punca tercetusnya rasa hormat manusia ke atas sifat keistimewaan dan kekuasaanNya dalam berperanan sebagai Al-Khaaliq atau 'Maha Pencipta' segala yang ada di muka bumi ini. Pendek kata mendekati lautan seumpama mendekati penciptanya. Sungguhpun diperlihatkan secara nyata, ia juga menyimpan rahsia yang tidak terjangkau dek pemikiran manusia. Rationalnya, lautan mengajak manusia berfikir dan memperhalusi sedalamnya rahsia kebesaran Allah S.W.T yang masih lagi tidak terungkai walaupun manusia dikatakan semakin maju dalam segala hal.

Belayar Di Samudera Berlabuh Di Darul Ridzuan

SAMUDERA :
SIFAT NEGATIF MANUSIA

Namun begitu, manusia tidak harus lupa kepada 'kuasa' lautan kerana di sebalik keindahan dan kedamaian ia juga terselit sifat amarahnya. Bertindak balas dari sifat manusia sendiri yang samada sedar atau tanpa sedar melakukan 'kerosakan' yang mencabar kredibilitinya. Kerosakan manusia terhadap alam termasuk lautan jelas tergambar melalui firman Allah S.W.T bermaksud "Telah tampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia; Allah mengkehendaki agar mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang banar)" (Surah Ar-Rum : 41). Justeru, tindak tanduk manusia durjana ini harus 'diingatkan' melalui 'pembalasan' yang setimpal. Digambarkan melalui dua senario yang berbeza. Pertama tindak balas Allah S.W.T melalui 'bencana' tanpa diduga sehingga membinasakan banyak entiti dan kedua, tindak balas manusia melalui penguatkuasaan yang jitu, menyeluruh dan berterusan. Objektifnya adalah untuk mendidik sifat manusia, memberi kesedaran kepada mereka dan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya melalui peruntukan undang-undang. Teraspirasi dari samudera atau lautan tersebut maka terlahirlah seorang Wira PDRM yang dititipkan melalui sebuah Biografi bertajuk Wira Samudera Sang Saka Biru.

SINOPSIS BUKU :
WIRA SAMUDERA
SANG SAKA BIRU


Sumber (Figura) : DCP (B) Zulkafli bin Sariaat, Mantan Timbalan Ketua Polis Perak
Pengarang : ACP Hasron Nazri bin Hashim
Pereka Grafik : Inspektor Muhammad Amirul Farhan bin Azilan
Genre : Biografi
Muka Surat : 130
Cetakan : Pencetakan Nasional Malaysia Berhad


Edisi Khas 2025 ini secara ringkas menzahirkan ceritera kehidupan dan kerjaya seorang Pegawai Kanan Polis iaitu DCP Zulkafli bin Sariaat sebagai ‘figura’ utama di mana jawatan terakhirnya adalah sebagai Timbalan Ketua Polis Negeri Perak Darul Ridzuan sebelum bersara wajib pada 23 Jun 2025. Figura ini telah berkhidmat selama 39 tahun dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mana sebahagian besar dari tempoh tersebut telah disumbangkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM) sebelum berhijrah ke Urus Setia KPN (Penyelidikan Dan Pembangunan) dan seterusnya ke lbu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

Biografi ini mengandungi 13 bahagian dan terbahagi kepada tiga segmen utama penceritaan meliputi latar kelahiran, zaman kanak-kanak dan persekolahan bagi Segmen Pertama, sejarah perkhidmatan di tiga entiti PDRM sebagai Segmen Kedua dan keperibadian serta kekeluargaan sebagai Segmen Ketiga. Naratif biografi ini di ketengahkan dalam bentuk penulisan dan gambaran foto yang digabungjalin berdasarkan pengalaman dan fakta yang di kongsi oleh figura sendiri selain sumber luaran sebagai elemen sokongan.

Di kesempatan ini, ucapan ribuan terima kasih dititipkan khas buat figura kerana telah memberi kepercayaan untuk meneroka kisah kehidupan beliau sehingga menjadi sebuah biografi. Selain itu, penghargaan yang tidak terhingga juga ditujukan kepada semua pihak di atas kerjasama dan sokongan yang telah diberikan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam merealitikan penerbitan biografi ini. Semoga Biografi Edisi Khas 2025 ini akan memberikan manfaat kepada semua pihak. Sekian, terima kasih.

Salam Hormat
Pengarang

 

 

Comments