Skip to main content

SEKILAS PANDANG PERPADUAN

Salam Keberkatan

Sekilas Perpaduan

Ramai orang berbicara tentang 'perpaduan' khususnya dalam ruang lingkup bernegara dan banyak usaha telah dijalankan untuk memastikan perpaduan tersebut kekal menjadi agen keselamatan dan keharmonian di dalam masyarakat. Namun perpaduan tetap menjadi 'duri dalam daging' atau 'api dalam sekam' yang bila-bila masa boleh menjadi solvent kepada tercetusnya ketidakamanan. Malaysia sebagai negara yang bersifat majmuk, perpaduan sangat sensitif sifatnya dan mempunyai 'stigma' tersendiri. Kurang sesuai jika dibicarakan secara keterlaluan dan terbuka. Tambahan pula jika disertakan dengan emosi seseorang yang tidak stabil atau jiwa yang ketika itu berada dalam berantakan. Terkesan berdasarkan sejarah yang telah berlaku dan mewarnai elemen perpaduan di negara ini. Mengapakah keadaan ini terjadi? Reaksi kepada persoalan ini adalah kerana jiwa manusia yang tidak cukup kuat untuk menghadapi tekanan persekitarannya, tiada kekuatan untuk meletakkan diri dalam keadaan yang neutral, hati yang mudah rapuh, tiada pertimbangan berdasarkan kewarasan dan meletakkan kepentingan individu atau kelompok tertentu mengatasi majoriti.

Sudut Pandang Kontemporari

Apakah makna di sebalik perpaduan tersebut? Sekadar menyorot sudut pandang sumber premier dan sekunder terhadap kalimah 'keramat' ini. Melalui Kamus Dewan Edisi Keempat, istilah perpaduan dimaknakan sebagai penggabungan, peleburan, persesuaian, kecocokan dan perihal berpadu (bergabung menjadi satu, sepakat, dll). Sekilas dari makna tersebut, perpaduan menekankan kepada 'kesepaduan' antara dua atau lebih elemen. Mampu bergabung, boleh disesuaikan dalam pelbagai situasi dan akhirnya membawa kepada menjadi satu. Dalam sumber yang lain, perpaduan menurut Wikipidia Bahasa Melayu membawa definisi penyatuan dan darjah serta jenis penyatuan yang dipamerkan sesebuah masyarakat ataupun kumpulan dan jiran mereka. Ia merujuk kepada semua perhubungan sosial yang mengaitkan manusia. Istilah ini lazimnya digunakan dalam bidang sosiologi ataupun sains kemasyarakatan. Diduksinya sumber ini menjelaskan perpaduan adalah berkaitan kehidupan antara manusia yang merupakan entiti membentuk masyarakat, kumpulan orang atau komuniti tertentu.

Manakala Dasar Perpaduan Nasional mentafsirkan perpaduan sebagai kesamaan dan kesatuan dalam membentuk identiti nasional seperti satu bangsa dan satu bahasa. Mengambil kira konteks negara yang mempunyai kepelbagaian etnik, bahasa, agama dan budaya maka konsep perpaduan yang ditekankan ialah "Perpaduan dalam Kepelbagaian". Tafsiran ini menekankan kepada perpaduan dalam pelbagai konteks yang berlegar dalam kehidupan manusia mencakupi politik, ekonomi, sosial, bahasa, agama dan budaya. Pada masa sama, agak menarik juga apabila Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menekankan kepada 'adat' dan 'tabiat' ketika membicarakan hal ini sebagaimana satu ungkapan beliau iaitu "setiap kita harus hormat hak dan perasaan masing-masing, bertolak ansur dengan agama orang lain, adat dan tabiat, kerana menerusi kepelbagaian itu kita boleh mendapat perpaduan yang sebenar". Ini bermakna sedikit sebanyak sifat dalaman, perangai dan rutin kelakuan seseorang juga bakal mempengaruhi erti perpaduan. Ringkas tafsirnya, perpaduan lebih sinonem digambarkan kepada hubungan interpersonel iaitu antara manusia sama ada melalui perbuatan, percakapan (komunikasi), pemikiran, emosi dan spritual dalam apa sahaja disiplin di persekitaran kehidupannya. 

Sudut Pandang Islam

Islam cukup sempurna sifatnya apabila turut mengenengahkan aspek perpaduan sebagai pegangan dan ikutan manusia dalam melayari kehidupan mereka. Hal ini dibuktikan melalui beberapa nas dari Al-Quran yang menyentuh berkaitan persaudaraan dan penyatuan jiwa antara manusia sebagai lambang keimanan dan ketakwaan. Dijelaskan melalui Firman Allah S.W.T yang bermaksud “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah itu. Dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat" (Surah Al-Hujarat:10). Islam juga melarang umatnya hidup dalam keadaan yang berpecah-belah atau berpuak-puak sehingga membangkitkan sentimen permusuhan di dalam masyarakat. Diperincikan melalui Firman Allah S.W.T yang bermaksud “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara" (Surah Ali-Imran:103).

Dalam konteks sejarah, Islam turut membuktikan elemen perpaduan telah dipraktis melalui daya usaha Baginda Rasullullah S.A.W ketika peristiwa Hijrah dari Kota Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Salah satu tindakan Rasulullah S.A.W selepas tiba di Kota Madinah adalah mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajirrin dengan tujuan menghilangkan semangat assabiyah dan memperkukuhkan perpaduan. Assabiyah merujuk kepada sikap fanatisme atau kesetiaan melampau yang boleh menyebabkan permusuhan di kalangan masyarakat dan menjejaskan kekuatan Islam. Melihat kepada impaknya terhadap kemaslahatan kehidupan maka seharusnya sikap tersebut dihapuskan dan menggantikannya dengan persaudaraan Islam. Dari itu, umat Islam perlu menyemarakkan nilai ukhuwah sebagai asas persaudaraan di samping memperkukuhkan semangat bersilaturrahim sebagai tunjang kekeluargaan.

Sudut Pandang Masyarakat

Aspek perpaduan telah lama berlegar dalam kehidupan masyarakat di negara ini. Pengalaman lalu banyak mengajar masyarakat bahawa betapa pentingnya memelihara perpaduan supaya kekilafannya tidak mendatangkan kesan negatif kepada keharmonian dan keselamatan keseluruhannya. Dalam perkara ini, masyarakat sering 'berlapik' dengan menggunakan 'kias' atau 'ibarat' bagi mengurangkan sensitiviti apabila membicarakannya. Medium yang digunakannya adalah melalui peribahasa, simpulan bahasa atau perumpamaan terutamanya dalam memberi pesanan, peringatan, nasihat dan praktis perpaduan dalam bermasyarakat. Perkara ini dapat dilihat melalui beberapa peribahasa Melayu yang digunakan bagi menggambarkan hal perpaduan tersebut. Antaranya 'bersatu teguh, bercerai roboh', 'bagai aur dengan tebing', 'berat sama dipikul ringan sama dijinjing', 'bulat air kerana pembentung bulat manusia kerana muafakat', 'ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua', 'serumpun bak serai, sesusun bak sirih' dan 'bagaikan isi dengan kuku'. Walaupun ungkapan-ungkapan tersebut dilihat 'otai' namun ia masih bernilai tinggi memandangkan keperluan kepada perpaduan adalah merentasi zaman. Ia tidak akan terpadam selagi adanya manusia dengan sifatnya dan wujudnya masyarakat yang berbilang bangsa di negara ini.

Sudut Pandang Media

Bercakap berkaitan perpaduan dan hubungkaitnya dengan media adalah sesuatu yang tidak boleh dikesampingkan. Sejak dulu media telah berperanan sebagai penentu kepada turun dan naiknya suhu perpaduan khususnya di kalangan masyarakat. Namun peranan tersebut dilihat lebih rumit di zaman ini apabila wujudnya kepelbagaian serta kompleksiti media terutamanya media tanpa sempadan yang lebih 'dekat' dan banyak mempengaruhi kehidupan masyarakat. Pengamal media arus perdana dilihat menyedari hakikat ini dan biasanya mengambil pendekatan yang berhemah namun tidak bagi pengamal media sosial yang lebih 'bebas' dan 'terbuka'. Media dilihat memiliki elemen 'menyokong' dan 'menyanggah'. Menyokong apabila masyarakat menggunakan sepenuhnya saluran media untuk menyatakan rasa tidak puas mereka berkaitan ketidakseimbangan perpaduan. Namun dari sudut percanggahan pula, penggunaan media di alam maya tersebut 'mujurnya' tidak melibatkan tindakan secara langsung, bersemuka atau bersentuhan yang mungkin bakal mencorakkan situasi yang lebih tegang terutamanya dari aspek keselamatan masyarakat dan negara. Ringkasnya, media adalah 'alat' untuk menyebar dan memperteguhkan nilai-nilai perpaduan selain menjadi elemen 'penyatu'. Namun dari sisi yang lain media juga boleh menjadi 'pencetus' lebih lagi jika ada golongan yang gemar memanipulasi sesuatu isu.

Diperkukuh

Berdasarkan kepada beberapa sudut pandang dalam membicarakan tentang perpaduan jelas sekali ia menjadi salah satu unsur kehidupan bermasyarakat yang tidak boleh dipandang remeh. Peranannya sebagai entiti memperkukuh keamanan, keharmonian serta keselamatan masyarakat dan negara adalah sangat besar. Kepentingan tersebut menyebabkan ia perlu disemai, dipelihara, dipertahan dan ditambahbaik dalam pelbagai dimensi kehidupan. Dalam hidup bermasyarakat segala perbuatan, tutur kata dan melontarkan pandangan perlu disertakan dengan rasional serta dibuat secara berhemah supaya tidak menjadi katalis kepada kesan kerosakan terhadap hubungan di antara sesama manusia. Sesungguhnya setiap manusia itu bersaudara. Nilai persaudaraan itu perlu disemai dengan rasa kasih sayang dan saling hormat menghormati di antara satu sama lain. Perasaan tidak puas hati adalah sifat nurani manusia. Namun gunakan saluran terbaik dalam menyelesaikan sebarang ketidakpuasan hati tersebut. Semoga dengan adanya pendekatan yang 'wajar' akan melahirkan kehidupan yang lebih baik dan bermakna untuk semua. Wassalam.

Author : Hasron Nazri Hashim, Kajang, Selangor D.E 
Sumber Gambar : www.bharian.com.my






Comments