![]() |
| Salam Keberkatan |
Evolusi Kuala Lumpur
Tahun 2026 menyaksikan Kuala Lumpur telah mencecah ke usia 169 tahun. Ikon kebanggaan yang terus 'hidup' dalam tempoh yang sangat panjang dan pastinya dalam rantaian masa tersebut, Kuala Lumpur telah melalui berbagai fasa yang mendewasakannya. Dari sebuah lokasi perlombongan bijih timah tradisional dan pertelingkahan yang membawa kepada perang saudara sehingga muncul sebagai sebuah ibu kota yang indah dan damai sehingga dikenali seantero dunia. Seumpama seorang 'manusia', khususnya dalam konteks evolusi kehidupan pastinya ada jatuh bangun yang 'terpaksa' dilalui. Begitu juga Kuala Lumpur sebagai sebuah metropolis utama di negara ini semestinya sudah banyak kejayaan yang digapai terutama di sepanjang usia kewujudannya. Namun di celahan kejayaan tersebut juga ada terselit sisi suram yang telah memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada pembangunannya selain kepada keseluruhan penghuninya yang kini dianggarkan berjumlah 8.44 hingga 9 juta.
Seolah sudah menjadi 'tanda aras' dalam kehidupan, kebaikan dan keburukan adalah dua elemen yang saling berkait antara satu sama lain. Moral dari kolarasi tersebut, sesuatu 'kejadian' itu tidak selamanya baik-baik dan indah-indah belaka. Begitu halnya dengan Kuala Lumpur apabila tidak terlepas dari kisah-kisah sedih, tragis dan krisis yang sedikit sebanyak mengganggu eko sistem politik, ekonomi dan sosial masyarakat selain mendapat liputan meluas di peringkat antarabangsa. Dewasa ini, ramai di kalangan kita sering membicarakan tentang sisi gemilang Kuala Lumpur. Namun elok andai sisi suramnya juga diimbas sama demi menjadikannya sebagai iktibar dalam menyusun langkah untuk memperkasa bandaraya tersebut di masa hadapan. Foktor yang memungkin perkara ini adalah pelbagai sifatnya. Namun mahu atau tidak, ia merujuk kepada Kuala Lumpur sebagai lokasi 'tumpuan' kemajuan metarial, pembangunan infrastruktur yang pesat dan perubahan pemikiran serta status kehidupan masyarakat yang pelbagai.
Kemasyarakatan
Dalam konteks kemasyarakatan, Kuala Lumpur dilihat sebagai lokasi titik mula kepada tercetusnya gerakan-gerakan yang berunsur politik dan medan menyuarakan pelbagai isu atau pendapat oleh aktivis-aktivis dan individu-individu tertentu samada berbentuk peribadi mahupun untuk kepentingan tertentu. Dalam perkara ini, antara yang memberi kesan besar dan tersemat kukuh dalam lipatan sejarah adalah Peristiwa 13 Mei 1969 dan Gerakan Reformasi Rakyat pada tahun 1998. Manakala dari sudut penganjuran gerakan-gerakan massa pula ia dapat dilihat melalui Bersih (1.0 hingga 5.0) yang berlaku dari tahun 2007 hingga 2016, Himpunan Rakyat dari tahun 2011 hingga 2024 dan beberapa edisi demonstrasi jalanan. Penganjuran gerakan, perhimpunan dan demonstrasi seperti ini dilihat telah mewujudkan konflik di kalangan pihak-pihak terlibat dan seterusnya menimbulkan ketegangan yang menganggu persekitaran kehidupan masyarakat. Di pojok lain, auranya juga telah memberi impak yang besar dan signifikan kepada lanskap politik, perpaduan dan keselamatan negara dalam garis masa yang panjang. Selain isu-isu dalam negara, Kuala Lumpur juga pernah menghadapi krisis politik melibatkan negara luar seperti krisis tebusan di Bangunan AIA pada 4 Ogos 1975 oleh kumpulan pengganas Tentera Merah Jepun (JPA).
Kelansungan Hidup
Sebagai sebuah ibu kota yang menjadi nadi kepada kelansungan hidup masyarakat khususnya, Kuala Lumpur pastinya menjadi tumpuan untuk mereka menikmati setiap 'keistimewaan' yang ada. Jika dilihat dari aspek sejarah, kelansungan hidup pernah 'terganggu' melalui beberapa kejadian bencana alam sebagaimana banjir besar yang berlaku pada tahun 1971 yang mengorbankan 32 jiwa selain seramai 180,000 orang terjejas. Rentetan itu, dengan mengambil kira faktor geografi dan kewajaran pembangunan telah menyaksikan beberapa siri kejadian banjir berlaku lagi selepas itu. Selain banjir, Kuala Lumpur juga pernah mengalami keadaan jerebu terburuk pada tahun 1997 dan 2015 sehingga membawa kepada pengisytiharan darurat alam sekitar pertama dalam sejarah negara. Kejadian tersebut secara langsung telah memberi kesan kepada kelansungan hidup penduduk di Kuala Lumpur khususnya dari segi struktur ekonomi, pentadbiran dan rutin harian penduduk. Dalam pada itu, Kuala Lumpur juga pernah 'bergelap' dalam beberapa ketika apabila berlakunya kejadian blackout di seluruh Semenanjung Malaysia pada 3 Ogos 1996. Kejadian ini telah mendatangkan kesan yang bukan sedikit terutamanya kepada sumber ekonomi setempat, pelaburan asing dan kehidupan masyarakat di sekitar Kuala Lumpur amnya. Kejadian yang agak luar biasa namun mampu mendatangkan konotasi yang besar dari aspek hubungan antarabangsa apabila seorang wanita warganegara India terjatuh ke dalam lubang jerlus di Jalan Masjid India pada 23 Ogos 2024. Kejadian tersebut menimbulkan pelbagai tanggapan di kalangan masyarakat tempatan dan luar negara terutamanya berkaitan tahap keselamatan infrastruktur awam di Kuala Lumpur. Terlanjur menyebut tentang infrastruktur awam, Kuala Lumpur juga pernah digemparkan dengan kejadian pertembungan tren Transit Aliran Ringan (LRT) di laluan Kelana Jaya di antara Stesen Kampung Baru dengan Stesen KLCC pada 24 Mei 2021. Menurut laporan akhbar, sekurang-kurangnya 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 penumpang lagi mengalami luka ringan.
Kemanusiaan
Sementara itu, beberapa kejadian tragis akibat dari perlakuan jenayah juga turut mewarnai sisi suram Kuala Lumpur. Kejadian yang dicetuskan oleh individu dan kumpulan-kumpulan tertentu telah sedikit sebanyak mendatangkan kegusaran warga kota raya tersebut ekoran dari keganasan yang dicetuskan. Di era tahun 1970 misalnya, siapa yang tidak kenal dengan seorang penjenayah terkenal bernama Wong Swee Chin atau Botak Chin dan Kalimuthu A/L Pakirisamy atau Bentong Kali di era tahun 1990 di mana kegiatan jenayah mereka ketika itu banyak berpusat di Kuala Lumpur. Selain itu, Kuala Lumpur juga pernah dikejutkan dengan kejadian pembunuhan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Ketua Polis Negara pada 7 Jun 1974 di mana kejadian dikatakan angkara pengganas komunis yang aktif ketika itu. Selebihnya pula, peristiwa yang dicetuskan oleh sekumpulan individu 'terdesak' seperti kejadian Tebusan di Penjara Pudu pada 17 hingga 22 Oktober 1986 dan atas kapasiti 'peribadi' seperti kejadian amuk Prebet Adam pada 18 Oktober 1987. Dalam membicarakan tentang jenayah, pastinya masyarakat Malaysia tidak lupa kepada satu kejadian rompakan paling 'epik' di Kuala Lumpur pada 6 Mac 1995 dengan kerugian mencecah RM 30 juta. Rompakan di Maybank Finance Berhad, Cheras tersebut berlaku dengan menggunakan modus operandi menggali terowong bawah tanah sehingga tembus di bilik kebal bank berkenaan. Sekadar menyebut beberapa individu dan kejadian yang berlaku di sebalik banyak lagi perlakuan jenayah yang berupaya mengganggu kedamaian Kuala Lumpur.
Nilai Di Sebalik
Sisi suram tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang negatif selamanya kerana apa yang berlaku mempunyai 'nilai' yang sangat berguna untuk dijadikan pedoman dan sempadan dalam menjalani kehidupan yang lebih baik. Sesuatu yang berlaku perlu dijadikan iktibar supaya masyarakat tidak bersikap 'ambil mudah' dan 'berkeinginan' untuk melakukan sesuatu secara keterlaluan sehingga tidak melihat kepada kesan baik atau buruk di sebaliknya. Umpama 'sejarah' yang dikonotasikan sebagai suatu 'kejadian berfakta' dan mampu hidup dalam jiwa manusia dalam tempoh yang panjang. Nilainya tidak akan luput dan pastinya sentiasa melingkari perjalanan kehidupan manusia. Hakikatnya, apa yang pernah berlaku di Kuala Lumpur adalah didasari oleh 'sifat dan sikap' manusia yang berpaksikan kepada kehendak tanpa batas, bertindak tanpa berfikir, gagal meletakkan rasional di tempatnya dan mengutamakan kepentingan diri mengatasi unsur kolektivisme. Justeru dengan adanya sejarah dan kesannya maka ia boleh berfungsi sebagai agen penggerak kepada masyarakat untuk berubah dalam mempertingkatkan nilai diri dan mengingatkan bahawa pri pentingnya berpegang teguh kepada nilai hidup bermasyarakat seperti bermuafakat, bertimbang rasa, berbaik sangka, meraikan kelainan dan bersama-sama menjunjung peribahasa "berat sama dipikul ringan sama dijinjing".
Harapan
Segala kelemahan yang pernah berlaku boleh diperbaiki dengan 'kemahuan' yang tinggi oleh setiap dari individu yang mempelopori entiti Kuala Lumpur. Ironinya mereka perlu mempertingkatkan elemen-elemen positif dalam diri untuk diterjemahkan dalam kehidupan bermasyarakat yang mewarnai 'wajah' sebenar Kuala Lumpur. Mereka juga harus memupuk semangat patriotik, menyemarakkan kebersamaan, menghormati hak orang lain dan menghayati semangat kerjasama untuk menjadi masyarakat yang berprinsip sebagai pegangan menuju kehidupan yang lebih baik. Apabila semua kreteria yang ada dipatuhi maka ia bukan sahaja mampu melahirkan masyarakat yang progresif dan dinamik malah juga mampu membawa Kuala Lumpur sebagai lokasi kependudukan yang selamat dan sejahtera. Adalah diharapkan supaya tiada lagi sisi suram di Kuala Lumpur sebaliknya terus dinaungi dengan sinar cahaya keindahan dan kerukunan yang berpanjangan. Salam Hari Wilayah 2026. Wassalam.
Author : Hasron @ Kajang, Selangor D.E







Comments
Post a Comment