![]() |
| Salam Keberkatan |
Mukadimah
Masa akan silih berganti tanpa dapat disanggah. Tanpa sedar tahun 2025 bakal meninggalkan kita dengan seribu satu rencah ragam. Menjadi inspirasi, pedoman dan titik perubahan atau kebangkitan demi meneroka kehidupan ke arah yang lebih baik. Mencipta pelbagai 'kesan' tanpa mengira 'status' masyarakat khususnya dalam lingkungan politik, ekonomi, sosial dan spritual. Selain disajikan sebagai 'ulangan' kepada episod yang lepas pastinya akan ada 'babak' baru tetapi digambarkan dalam lanskap yang berbeza. Segalanya memerlukan 'sentuhan' yang berpaksikan kepada 'semangat' kegigihan dan keyakinan setiap entiti yang ada. Setiap masa yang bergerak tersebut perlu diguna dan dimanfaatkan sebaiknya sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Furqaan, ayat 62 yang bermaksud "Dan Dialah yang menjadikan malam dan siang silih berganti bagi sesiapa yang mahu mengambil pengajaran atau mahu bersyukur (atas nikmat-nikmatNya)".
Pengaturan Masyarakat
Kestabilan sistem pemerintahan dilihat sebagai 'induk' kepada kekuatan ekonomi, sosial dan spritual bagi masyarakat yang kaya dengan elemen kepelbagaian seperti Malaysia. Menjadi asas kepada keselamatan dan kemakmuran negara serta kesejahteraan dan kemaslahatan hidup masyarakatnya. Sepanjang tahun 2025 telah memperlihatkan senario politik yang agak 'mencabar' dengan suhu turun naiknya samada di blok kerajaan mahupun pembangkang. Situasi ini berikutan tiada sebuah parti politik yang dominan sebaliknya masih utuh dengan perkongsian kuasa melalui 'Kerajaan Perpaduan'. Umumnya kerajaan yang ada masih utuh menjalankan fungsinya walaupun di pojok tertentu terasa ada angin perbezaan pendapat namun disusuli dengan jalan penyelesaian. Antara yang menjadi perhatian adalah proses pemilihan dalaman parti utama dalam Kerajaan Perpaduan, Pilihanraya Negeri Sabah dan Rombakan Kabinet 2025.
Ringkasnya Pemilihan Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan pemilihan pertama selepas Presidennya diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia. Pemilihan kali ini dilihat mempunyai 'titik panas' tersendiri apabila berlaku perletakkan jawatan beberapa figure dari kabinet selepas keputusan pemilihan. Manakala dalam konteks Pilihanraya Negeri Sabah, pastinya juga turut mengundang 'kejutan' akibat keputusan luar jangka. Dari sudut mana sekalipun keputusannya secara sedar atau tanpa sedar memberi 'petanda' kepada semua parti politik yang ada untuk melakukan lebih 'lonjakan' prestasi untuk menawan hati rakyat keseluruhannya. Di sisi lain pula, ia memberi gambaran kepada 'kebebasan' rakyat khususnya warga Sabah untuk membuat pilihan yang tepat bagi menjamin kehidupan yang lebih bermakna sekurang-kurangnya bagi tempoh lima tahun akan datang. Nada yang serupa seperti di peringkat persekutuan, bila mana tiada gabungan parti yang memiliki kekuatan 'tuntas' atau menerima pengiktirafan total. Keadaan ini sewajarnya menjadi reference dan homework oleh parti-parti politik terlibat untuk membuat penambahbaikan dari pelbagai aspek dan menyusun arah tuju bagi menghadapi beberapa Pilihanraya Negeri dalam tempoh terdekat yang pastinya lebih mencabar.
![]() |
| Rombakan Kabinet pada 17 Disember 2025...tukar portfolio dan muka baharu (Sumber Gambar Sinar Harian) |
Rombakan Kabinet 2025 merupakan sesuatu yang dinanti selepas lebih tiga tahun kerajaan semasa ini terbentuk. Satu inisiatif yang memiliki aura 'luar kebiasaan' apabila beberapa tokoh bukan Member Of Parliament dibawa masuk menganggotai Badan Eksekutif di peringkat pusat. Pastinya ia bersandarkan kepada 'strategi' dan 'justifikasi' tertentu bagi memastikan negara dapat diurus tadbir dengan baik dan berkesan. Tahun 2026 menjadi tahun pertama perkhidmatan dan dilihat akan menjelmakan keupayaan sebenar tokoh-tokoh terpilih bagi memastikan visi dan misi kementerian tercapai selain menyusun pendekatan menangani cabaran-cabaran baru yang wujud di persekitaran. Sebagai majoriti, rakyat perlu meletakkan keyakinan dan memberi sokongan padu kepada setiap agenda yang disusun atur demi menentukan kehidupan bermakna pada masa depan.
Kelansungan Hidup
Pada tahun 2025, pertumbuhan ekonomi Malaysia berada di landasan yang kukuh jika dilihat kepada pencapaian Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.2 peratus bagi Suku Ketiga (ST3). Nilai Ringgit Malaysia pula telah mengukuh ke paras 4.0765 berbanding Dolar AS pada 17 Disember 2025 dan ditutup pada paras tertinggi pada 4.0720. Lazimnya, perkembangan ekonomi yang stabil akan memberi faedah kepada rakyat keseluruhan dan seterusnya peluang dari kemampanan tersebut perlu diterima baik oleh semua. Ini kerana, walaupun perkembangan ekonomi dilihat mampan dengan kuasa beli yang terlihat 'tinggi' tetapi di tahun 2025 masih lagi kita disajikan dengan elemen 'desakan' dan 'keluhan' sesetengah pihak selain senario kemiskinan dan kesusahan masyarakat yang seakan tidak bertepian. Rasionalnya, kek ekonomi perlu diukur dan dibahagikan dengan sama rata, diterima baik dan dirasai kesannya oleh semua tanpa ada ketinggalan di mana-mana pihak sekalipun. Ini adalah bagi menjamin kelestarian dan kelangsungan hidup kurang lebih 36.16 juta rakyat Malaysia dalam garis masa panjang. Paling menarik, hasil percaturan ekonomi yang mantap telah membolehkan buat julung kalinya rakyat negara ini menikmati subsidi petrol secara 'bersasar' melalui Inisiatif Budi Madani RON95 bermula 30 September 2025.
Sumber Manusia
Manusia adalah 'ikon' yang berfungsi menunjangi keutuhan sesebuah negara. Dalam hal ini, mereka harus dicitrakan sebagai berkarisma, berkredibiliti dan berketerampilan sebagai pemangkin kepada usaha mewujudkan masyarakat yang progresif demi kemajuan negara. Bagi tujuan tersebut, sprit yang dimiliki seharusnya mantap meliputi kerohanian, nilai dan etika. Berbicara tentang aspek ini, sepanjang tahun 2025, masyarakat Malaysia dilihat masih lagi bergelut dengan masalah kemanusiaan dan kejiwaan yang agak serius. Ketidakstabilan emosi dan kegagalan 'membawa' diri telah mendorong kepada tindakan yang condong kepada persengketaan, penyelewengan, salah guna kuasa dan penggunaan kekerasan. Segelintirnya pula masih lagi belum 'matang' dalam mengadaptasi sosial media sebagai budaya hidup sehingga menyemarakkan budaya mengadu domba, mengeji dan mencaci yang membawa perselisihan. Masalah jenayah seperti rasuah, penipuan, rogol, buli dan bunuh 'banyak' mewarnai kanvas kehidupan masyarakat tanpa mengira latar umur dan kedudukan. Penelitian kepada laporan media arus perdana dan medium sosial terhadap perkara-perkara tersebut jelas memperlihatkan takat kompleksiti yang tinggi dan catatan angka yang mungkin 'luar biasa' dari sebelumnya. Asbab dari apa yang berlaku perlu diteliti dan seterusnya solusi dari aspek kesedaran, pencegahan, pendidikan dan hukuman perlu menjadi keutamaan agar tidak berlanjutan dan 'terbawa-bawa' ke tahun-tahun mendatang.
Mendunia
Sepanjang tahun 2025, telah menyaksikan nama Malaysia berkumandang megah di seantero dunia. Ini terbukti melalui peranan besar Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025. Penganjuran Persidangan ASEAN 2025 yang bertemakan 'Keterangkuman dan Kemampanan' telah memperlihatkan peranan tersebut bukan sahaja dari aspek penganjuran malah kepada fungsi yang lebih besar iaitu sebagai pemudah cara integrasi serantau, sahabat yang membina dan pelopor kepada keamanan politik dan ekonomi global. Keadaan bertambah baik melalui peranan Malaysia dalam memberi 'reaksi' terhadap beberapa krisis dunia yang berlaku. Selain itu, lawatan negara dan kunjungan rasmi Perdana Menteri ke beberapa negara juga telah mengesahkan bahawa di tahun 2025, Malaysia mempunyai dasar hubungan luar yang baik. Perjanjian-perjanjian perdagangan, persefahaman (MoU) dan deklarasi dalam pelbagai bidang yang dimetrai telah memberi kesan langsung kepada Malaysia dan rakyatnya. Natijahnya, ekonomi Malaysia berkembang pesat dan fleksibel dengan adanya koordinasi bilateral dan multilateral dari pelbagai benua meliputi Asia, Eropah, Amerika dan Afrika Selatan. Dalam konteks ini juga, seperkara yang tidak boleh diketepikan iaitu peranan duta-duta kecil mengharumkan nama Malaysia di persada dunia melalui berbagai bidang khususnya sukan, kebudayaan, infrastruktur, teknologi dan lain-lain. Segalanya menjanjikan Malaysia mendunia, dikenali dan dihormati sehingga menarik kedatangan pelancong. Catatan mendapati dalam tempoh lapan bulan tahun 2025, kehadiran pelancong ke negara ini telah meningkat 14.5 peratus berbanding tahun sebelumnya. Sudah semestinya suatu perkembangan baik menjelang mauduk Tahun Melawat Malaysia 2026.
Kisah Duka
Lumrah kehidupan ada manis dan ada juga pahitnya. Selain perihal kegemilangan dan kegembiraan, di tahun 2025 negara juga turut terpalit dengan perkhabaran duka rentetan dari kejadian-kejadian meruntun jiwa seluruh warga Malaysia. Antara yang menarik perhatian dan melibatkan kehilangan nyawa yang tinggi adalah kes kemalangan jalanraya mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) pada 12 Mei 2025 di Teluk Intan, Perak.
Seterusnya, 29 hari kemudian dengan kejadian kemalangan yang mengorbankan seramai 15 pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di Lebihraya Timur Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak. Sesungguhnya ia takdir yang wajib diterima tetapi moralnya perlu dijadikan sebagai iktibar bahawa masyarakat perlu mematuhi segala peraturan dan lingkungan undang-undang bagi menjamin kehidupan yang selamat. Ia juga merupakan 'petunjuk' kepada pri pentingnya menjana sifat-sifat positif dalam diri bagi menjamin kehidupan yang lebih baik dan seterusnya mengelak perkara-perkara buruk yang menjejaskan kehidupan sendiri mahupun orang lain. Sedar atau tidak, tragedi yang berlaku juga telah menjelmakan wajah sebenar masyarakat khususnya berkaitan keprihatinan, rasa simpati, berkongsi kesedihan dan esprit de core yang penting dalam membina sebuah identiti bangsa.
Menuju 2026
Manusia akan mendambakan kehidupan yang lebih baik selari dengan peredaran zaman. Hakikatnya, manusia tidak tahu apa akan terjadi pada masa hadapan. Namun dengan anugerah ilmu pengetahuan dan disertakan dengan pengalaman lalu, manusia boleh 'menjangkakan' sesuatu samada baik atau buruk sifatnya. Dalam hal ini, beberapa elemen perlu diberi perhatian khususnya berbentuk kuantitatif mahupun kualitatif. Data atau statistik perlu jujur dan berhemah supaya ia selari dengan realiti. Jiwa masyarakat terbanyak perlu diselami sedalamnya supaya keperluan dan kehendak mereka boleh dipenuhi secara adil dan saksama. Apabila tuntutan-tuntutan ini dipenuhi maka ia akan memudahkan pihak berkenaan untuk menyusun pelan tindakan dan perancangan yang lebih ampuh bagi faedah bersama. Sumbangan golongan teramai pula dilihat sangat bermakna dalam memastikan segala perancangan tersebut memberikan pulangan terbaik dalam kehidupan. Mereka wajar memiliki jati diri dan komitmen yang tinggi bagi menyokong segala ketetapan demi menjanjikan masa depan komponen kehidupan yang lebih baik pada masa depan.
Perlu diingatkan bahawa manusia sememangnya mampu merancang tetapi sebaik-baik perancangan adalah dari Allah S.W.T. Namun begitu, lebih afdal 'menuai' hasil selepas adanya perancangan yang rapi walaupun kualiti dan kuantitinya mungkin tidak seberapa dari terus bersikap 'tangkap muat' atau 'ala kadar' bak peribahasa "bagai melepaskan batuk di tangga". Sememangnya usaha dan kerja keras adalah tuntutan hidup selari dengan peribahasa "kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya". Sesungguhnya, masyarakat Malaysia di pelbagai struktur memiliki tanggungjawab yang sama dan seterusnya 'hak' untuk memiliki yang lebih baik dan selanjutnya kehidupan yang sejahtera melalui sebuah negara maju secara komprehensif seperti Malaysia. Sehubungan itu, marilah kita beriringan untuk Melangkah Bergaya Menuju 2026. Wassalam.
Author : Hasron Nazri Hashim, Sarjana Muda Sains Politik & Komunikasi UKM, MHRD UPM









Comments
Post a Comment