Skip to main content

SEMBANG KARI


Jurus

Istilah Sembang Kari dilihat semakin mendapat tempat dalam bicara masyarakat dewasa ini. Bukan sekadar di ‘Kedai Mamak’ tetapi boleh berlaku di mana-mana, tanpa mengira masa atau dengan siapa sama ada dikenali atau tidak. Tambahan pula zaman ini, dengan kemajuan teknologi membolehkan manusia bersembang dengan hanya di hujung jari sahaja. Sembang kari adalah berasal dari bahasa selanga iaitu sesuatu ungkapan yang bukan merupakan bahasa standard atau digunakan dalam situasi yang tidak rasmi. Jika dulu ia sangat sinonim dengan golongan remaja namun ketika ini telah digunakan secara lebih meluas tanpa mengira peringkat masyarakat. Lebih dari itu, jika dilihat secara mendalam, sembang kari menjurus kepada berkata-kata atau bercakap kosong, ada kalanya berlebih-lebihan, menjurus kepada temberang atau cerita yang tidak benar dan tidak berasaskan fakta. Realitinya sembang jenis ini sangat kerap dilihat malah sudah menjadi suatu kebiasaan dalam masyarakat terutamanya dalam memberi reaksi terhadap sesuatu perkara. Hakikat ini nyata berlaku di persekitaran, rentetan satu demi satu isu berbangkit yang mendapat ulasan atau kritikan di kalangan masyarakat yang ada kalanya steady tetapi ‘banyak’ juga bersifat sembang kari.

Pilihan

Mengapa ramai memilih untuk sembang kari? Persoalan ini berbalik kepada sifat manusia atau habit segelintir masyarakat di negara ini khususnya bila mana masing-masing ingin menunjukkan bahawa dia lah yang terpaling tahu akan sesuatu, suka merajai sesuatu walau tidak tahu hujung pangkalnya, bertindak membuta tuli dan tidak boleh duduk ‘diam’. Ada juga di kalangan mereka yang mahu famous tidak bertempat, gemar kepada perkara yang mempunyai nilai ‘sensasi’ dan mudah terikut-ikut atau terbawa-bawa dengan perbuatan orang lain. Tambah pula, sekarang ini masyarakat telah disajikan dengan pelbagai ‘gajet maya’ yang menjadi ‘platform’ berbicara tanpa ‘had’. Situasi ini menjadikan mereka boleh bercakap tentang apa sahaja yang terlintas di benak fikiran mereka. Medium ini dilihat sangat berpengaruh memandangkan ia memiliki momentum sebaran yang pantas dan semestinya mempunyai pengikut yang ramai. Apa yang penting adalah identiti seseorang boleh ‘disorakkan’ atau ‘dipersendiriankan’ dan tentunya tidak perlu bersemuka bagi memberi keyakinan dan fleksibiliti untuk berkata-kata sesuatu perkara yang intipati nya jelas suatu pembohongan, bukan fakta sebenar dan keterlaluan.

Bahana

Sama ada disedari atau tidak, risiko sembang kari adalah sangat besar kepada ‘sifat peribadi’ seseorang dan nilai ‘kehidupan’ mereka dalam masyarakat. Memberi impak negatif kerana dengan sengaja mereka, menambah dan memperbesarkan sesuatu isu sehingga menggalakkan perpecahan di kalangan masyarakat. Tindakan dan impaknya menyebabkan jati diri segelintir masyarakat kini berada di titik paling rendah apabila dengan mudah merelakan diri dimaki, dihina dan diperbodohkan dengan begitu sahaja. Bertambah malang apabila kesanggupan tersebut dilakukan atas nama mencari ‘kebenaran’ yang memiliki kesamaran dan ‘perjuangan’ yang tidak ‘kena’ pada tempatnya. Mereka yang terjerumus juga boleh dikategorikan sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak ‘patriotik’ apabila menjadi ‘punca’ kepada kecelaruan isu dan mendatangkan ‘gangguan’ kepada pelbagai elemen keselamatan. Perlu diingatkan bahawa, percakapan atau berkata-kata merupakan citra keperibadian kerana ia akan menjadi tanggapan pertama atau penanda aras apabila ingin membuat penilaian kepada seseorang.

Keperibadian dan maruah harus dipelihara termasuk dalam berkata-kata baik. Dalam hal ini, ajaran Islam sendiri telah menyarankan manusia supaya memelihara diri dan tidak meletakkannya dirinya di lembah kebinasaan sebaliknya sentiasa membuat kebaikan. Buktinya melalui Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud ‘janganlah kamu jatuhkan (diri sendiri) ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri, dan berbuat baiklah. Sungguh, Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik’. Selain itu, perlu juga diberi perhatian bahawa sembang kari boleh mendorong kepada elemen fitnah, berbohong atau berdusta yang tidak selari dengan kehendak agama dan budaya masyarakat. Fitnah sangat berbahaya jika dibiarkan menular kerana ia akan membawa perpecahan, porak peranda dan menyemarak permusuhan dalam masyarakat. Perkara tersebut diperkuatkan melalui Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Baqarah, ayat 191 yang bermaksud ‘dan fitnah itu lebih kejam daripada pembunuhan’. Manakala amalan berbohong pula akan menjelmakan sifat kemunafikan manusia sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W bermaksud ‘Tanda-tanda munafik ada tiga, iaitu: Apabila dia bercakap dia berdusta, dan apabila dia berjanji dia mungkiri, dan apabila dia diberi amanah dia mengkhianati’ (Riwayat al-Bukhari).

Nasihat

Sebagai individu cemerlang, seseorang itu perlu menunjukkan keperibadian yang membina termasuk dari aspek percakapan atau melontarkan pandangan terhadap sesuatu perkara. Tiada siapa dapat menyanggah bahawa bersembang atau berkata-kata adalah sesuatu yang dibenarkan tetapi perlu juga disertakan dengan unsur kebijaksanaan. Mekanismenya adalah melalui kematangan berfikir dan membuat rujukan atau homework terlebih dahulu. Sumber rujukan pula perlu sahih, diperakui dan boleh dipercayai. Jangan ikut ‘kepala sendiri’ tanpa memikir atau menilai kesan di sebalik apa yang dinyatakan. Sembang terbaik adalah sembang yang sesuai pada tempatnya. Maksudnya di sini adalah bercakap berpaksikan fakta dan atas kapasiti bidang masing-masing. Tidak melanggar batas atau mencampur aduk kan dengan lain-lain area. Contoh yang mudah, jika anda bukan dari bidang undang-undang tidak perlulah bersifat melulu memberikan reaksi kerana bimbang berlaku kekhilafan fakta. Ini kerana bidang undang-undang tidak memadai dengan membaca buku atau sumber-sumber di internet semata-mata sebaliknya ia perlu dipelajari dan paling utama difahami dengan jelas. Begitu juga jika tiada ilmu berkaitan perubatan, tidak perlulah memberi sebarang pandangan kerana pandangan anda mungkin akan menambah stress dan mewujudkan suasana panik bukan sahaja kepada pesakit terlibat malah kepada masyarakat di persekitarannya. 

Diam

Selain berkata baik dan benar, adakah manusia mempunyai pilihan lain? Jawapannya ada iaitu ‘diam’. Memilih diam dari berkata-kata yang bersifat sembang kari dilihat adalah jalan terbaik dalam meletakkan diri di landasan etika yang tepat. Kata orang berdiam diri bukan berertinya lemah atau kalah bertarung. Bukan pasif atau introvert tetapi diam bermaksud menyusun strategi serta mengambil masa untuk merancang sesuatu yang tepat dan berguna kepada semua. Maka lebih elok diam sebagaimana yang dianjurkan dalam Islam sepertimana Sabda Rasulullah S.A.W ‘Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam’ (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Justeru, terpulang kepada diri untuk menilai dan meletakkan perkara ini mengikut kapasiti masing-masing. Lebih-lebih lagi, manusia merupakan makhluk yang istimewa kerana dianugerahi akal untuk berfikir mana yang baik dan mana yang tidak baik. Adalah dibimbangi sembang kari akan menjadi budaya yang tiada berpenghujung kerana jika itu terjadi maka ia boleh menjadi wabak yang sukar diubati lagi. Pilihan di tangan kita. Wallahuaklam.

Author : Hasron Nazri Hashim @ Kajang, Selangor DE

Comments