Skip to main content

FITNAH : PRINTED vs HEARSAY

Salam Keberkatan..

Pengertian

Fitnah adalah satu bentuk perlakuan manusia yang sangat buruk sifatnya. Wujudnya selari dengan kewujudan manusia dan diwarisi dari zaman berzaman sehingga ke hari ini. Mekanisme adalah dalam pelbagai bentuk dan rupa seiring dengan perkembangan semasa. Jika dilihat dari sudut istilah, fitnah adalah tuduhan (khabar, kisah, dll) yang diada-adakan (dibuat-buat) untuk memburukkan atau membencanakan seseorang dll (Kamus Dewan Edisi Keempat). Manakala dalam Islam perbuatan fitnah adalah haram hukumnya dan dilarang sama sekali sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud “Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan; dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir” (Surah Al-Baqarah: 191).

Katalis

Terjadi disebabkan masalah 'hati' khususnya dendam kesumat, hasat dengki dan cemburu (iri hati) dek tidak boleh melihat orang lain lebih dari diri sendiri atau tidak mampu buat seperti orang lain buat. Tidak kurang juga dari jenis manusia yang "takut akan bayang-bayang" yakni berasa takut kepada sesuatu yang sebenarnya tidak ada atau "takutkan bayang-bayangnya sendiri" yakni rasa takut kerana perbuatannya yang salah. Di penghujungnya, jalan terbaik adalah bertindak 'mereka' dan 'mencipta' sesuatu dengan harapan supaya dapat 'memuaskan hati' yang bermasalah selain melindungi kesilapan yang wujud dari pandangan orang lain. Ketulinannya pula adalah dalam pelbagai level. Mungkin betul berkaitan isu pokok tetapi ditokok tambah dengan elemen-elemen 'penyedap' dan pembohongan atau mungkin juga seratus peratus penuh dengan kepalsuan dan pendustaan. Perlakuan seperti ini boleh berlaku di mana-mana tanpa mengira status masyarakat dan struktur sosial mahupun dalam mana-mana institusi atau organisasi.

Kaedah

printed...

Dalam dunia moden ini, perbuatan fitnah dilihat semakin terkedepan apabila wujudnya fitnah yang disampaikan secara bertulis selari dengan perkembangan teknologi khususnya dengan kewujudan media alternatif. Namun begitu, perbuatan fitnah secara konvensional yang menggunakan pendekatan penceritaan dari mulut ke mulut masih lagi menjadi daya tarikan seolah "tidak lekang ditelan zaman". Biasanya penyampaian melalui medium bertulis atau bercetak menjadi pilihan memandangkan melalui cara ini penyampai fitnah agak sukar dikesan dan boleh tersebar secara meluas dalam masa yang singkat. Ini kerana hampir semua individu dalam masyarakat mempunyai akses terhadap media alternatif termasuk orang yang difitnah. Rentetan kaedah ini membawa kepada wujudnya istilah popular iaitu 'surat layang' yang tidak bernama dan tidak diketahui siapa penulis atau pengirimnya. Tidak kurang juga dengan istilah 'surat terbuka' dari mereka yang dilihat lebih berani berdasarkan fakta tertentu.

hearsay...

Keadaan ini berlainan pula dengan perbuatan fitnah secara tidak bercetak di mana penyampainya biasanya boleh dikenal pasti memandangkan ia disampaikan secara bersemuka sebelum berlaku dialog mulut ke mulut. Agak sukar atau lambat diterima oleh orang yang difitnah kerana ia berlegar-legar di kalangan orang-orang tertentu sahaja. Situasi ini menyebabkan orang yang difitnah tidak boleh mempertahankan dirinya memandangkan tiada bukti kukuh malah sekadar dengar-dengar cakap atau hearsay manakala si pelaku mempunyai ruang untuk mempertahankan diri. Namun, pengaruhnya tetap besar kerana ia disampaikan dengan beremosi, sensasi, real dan menyakinkan walaupun ternyata sesuatu itu adalah tidak benar atau boleh diragui kebenarannya. Umpama seorang aktor yang berjaya membawa wataknya untuk mempengaruhi orang lain. Butiran penceritaan yang sangat 'aktif' dalam tempoh yang panjang bak penglipurlara yang menyampaikan ceritera warisan generasi ke generasi.

Implikasi

Apapun kaedah dan tujuannya, perbuatan fitnah ini bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang negara malah bukan juga sesuatu yang baik dalam konteks agama Islam. Perlakuan ini akan menyebabkan 'niat' atau 'perbuatan' baik disalahertikan sehingga menampakkan seolah-olah ia sesuatu yang buruk selain kebenaran akan menjadi kepalsuan atau "realiti menjadi fantasi". Diakhirnya, keadaan tersebut boleh menjatuhkan maruah atau reputasi seseorang, menimbulkan perpecahan, perbalahan, kemusnahan harta serta lebih buruk sehingga menyebabkan kehilangan nyawa. Kesannya sudah semestinya kepada individu yang lain, masyarakat (ummah), agama dan negara. Sedangkan kekuatan agama adalah berdasarkan kepada keutuhan individu yang menyumbang kepada kesepaduan ummah dan seterusnya menjadikan negara dihormati dan disegani. Justeru, berilah tumpuan kepada perkara-perkara yang baik dan membina dalam kehidupan ini. Elakkan menjadi si pembawa konflik yang tidak memberi keuntungan kerana sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda“Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba)” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Malah bukan sekadar itu kerana dibimbangi Allah s.w.t akan membayar cash ketika kehidupan di dunia lagi. Wassalam.

Author : Hasron @ Kajang, Selangor

Comments