Skip to main content

DAMAI YANG HILANG, CORETAN PALESTINA



Krisis dunia yang paling panjang selepas Perang Dunia Ke-2 dan tiada titik nokhtahnya sehingga kini telah mengorbankan ribuan nyawa mereka yang tidak berdosa. Memberi kesan trauma yang berpanjangan dan tidak akan terpadam sehingga ke akhir hayat. Meninggalkan impak kepada kelestarian sistem kehidupan dan bernegara yang bukan calang-calang. Begitulah digambarkan kepada warga dan sebuah negara kecil yang tidak lekang disebut, dilaung dan senantiasa diingati di dalam doa seluruh masyarakat dunia yang bernama Palestin. 

Bukan 7 Oktober 2023, tetapi krisis di rantau timur tengah tersebut sudah bermula secara rasmi semenjak tahun 1948 dan berlarutan sehingga kini. Justeru, selama 75 tahun warga di bumi ambiya Palestin mengalami penderitaan fizikal dan mental serta rohani dan jasmani silih berganti seolah tiada penamatnya. Namun, warganya tetap teguh bukan sahaja dari aspek 'raga' malah 'jiwa' yang 'membujur lalu melintang patah' sifatnya. Berteraskan jihad dan kemudiannya syahid di jalan Allah s.w.t mereka tetap setia bertahan sehingga ke titisan darah terakhir kerana mempertahankan negara bermakna mempertahankan kedaulatan Islam. Sepanjang tempoh tersebut juga, episod demi episod dicanang ke seluruh pelosok dunia bagi menggambarkan 'kerakusan' dan 'kekejaman' di satu pihak serta dipihak yang lain mencitrakan nilai 'kesengsaraan' yang tidak bertepi.

Kini episod baru menjuarai ceritera dunia dengan 'skrip' dan 'dialog' yang masih sama seperti kisah dulu-dulu. Natijahnya, catatan terakhir telah menganggarkan hampir 15,000 nyawa manusia dipertaruhkan (Berita Harian Online : 14 Nov 2023) selain ribuan lagi yang cedera dan hilang. Tidak kurang juga yang mengambil tindakan melarikan diri tanpa arah destinasi semata-mata untuk menyelamatkan diri. Tempiasnya juga membawa bersama kemusnahan peradaban dan struktur kehidupan yang bukan kaling-kaling nilainya. Tanpa mengira kecil atau besar, tua atau muda, lelaki mahupun perempuan telah menjadi mangsa tindakan yang berpaksikan 'kerakusan' dan 'kekejaman'. Lebih malang apabila World Health Organization (WHO) menganggarkan bahawa satu nyawa anak kecil akan lenyap di alam ini bagi setiap sepuluh minit di lokasi krisis. Tidak seperti kanak-kanak comel yang lain, berlari berkejaran riang dan gembira seolah dunia ini milik mereka. Tiada lagi kedengaran merdunya suara sang ummi mendodoikan putera puterinya dengan kalimah Allah s.w.t. Tiada lagi lembutnya suara sang abi memberikan kata-kata kasih dan sayang kepada si anak. Cuma yang ada hanyalah suara dentuman peluru dan bom yang menunggu masa melucutkan nyawa mereka dari badan. Inilah harga sebenar kehidupan yang terbayar melalui sifat 'kerakusan' dan 'kekejaman' manusia. Sepanjang hari berada dalam kegelapan, kelaparan, ketakutan, kesakitan menunggu sebuah kematian dan perasaan ini sering berlegar-legar di ruang fikiran mereka tanpa mengira detik.

Mendamaikan, namun...

Pelbagai usaha telah dan cuba dilaksanakan oleh masyarakat dunia dari pelbagai fahaman dan agama samada secara langsung atau tidak langsung dalam menyelesaikan kemelut ini. Suara solidariti dalam berbagai bentuk bergema dan mengalir dari setiap penjuru alam membantah pemerkosaan hak dan menyatakan sokongan terhadap penderitaan kesan serangan bertubi-tubi tetapi malang sehingga ke hari ini masih 'ke laut' juga kesudahannya. Ego 'kerakusan' dan 'kekejaman' masih bermaharajalela, berpanjangan dan semakin hari semakin kompleks. Kecaman demi kecaman seolah aliran air yang berlalu begitu sahaja. Kutukan demi kutukan seolah hembusan bayu yang tiada arah haluan. Begitulah kesudahannya seandai manusia sudah dirajai dengan ideologi matlamat menghalalkan cara.

Apa yang mereka ada? Tiada apa-apa melainkan doa dan harapan, keimanan yang teguh dan pegangan yang utuh dengan tali Allah s.w.t. Itulah senjata dan itulah perisai bagi mereka dalam mendepani 'kerakusan' dan 'kekejaman' yang tiada tandingan di alam nyata tetapi, bukan di alam ghaib. Berbicara berkaitan alam ghaib maka tidak mungkin untuk mengenepikan peranan doa yang sering didendangkan oleh umat Islam di seantero dunia. Di antara doa tersebut pula, Qunut Nazilah akan menjadi pilihan memandangkan di dalamnya lengkap terkandung pujian, rasa tawaduk, sprit dan pengharapan yang nyata dengan matlamat untuk menghancurkan musuh-musuh Islam. Tika ini, sudah menjadi kebiasaan malah suatu kemestian bagi Qunut Nazilah berkumandang di dalam solat Jumaat oleh pelbagai lapisan masyarakat Islam di seluruh Malaysia dan dunia. Sebagai perkongsian kecil, disertakan terjemahan salah satu dari versi ayat-ayat Qunut Nazilah seperti berikut :

بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

"Ya Allah kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami dan kami berlindung denganmu dari kejahatan mereka. Ya Allah hancurkan kumpulan mereka. Ya Allah pecahkan pakatan mereka. Ya Allah leburkan pendirian mereka. Ya Allah musnahkan langkah mereka. Cengkamkan anjing-anjingmu kepada mereka. Ya Allah yang maha memaksa. Ya Allah yang maha perkasa. Ya Allah yang maha membalas. Ya Allahu, ya Allahu, ya Allah. Yang turunkan kitab, yang gerakkan awan, yang tewaskan tentera Ahzab. Kalahkan mereka, kalahkan mereka, kalahkan mereka. Dan kemenangan untuk kami."

Sangat halus tetapi cukup tajam dan tegas sifatnya apabila mengamati bait-bait yang mendasarinya. Sesungguhnya Allah s.w.t maha mendengar dan memakbulkan kerana Dia adalah penguasa seluruh alam dan makhluknya. Tambahan pula, Islam amat menekankan konsep persaudaraan, lebih-lebih lagi saudara seagama, sekepercayaan dan seperjuangan. Bak kata pepatah "cubit peha kiri, peha kanan terasa sakitnya" begitulah juga jika saudara seagama, sekepercayaan dan seperjuangan sedang berdepan dengan penderitaan dan kesengsaraan yang tidak tertanggung. Walaupun bukan secara fizikal namun kesan batinnya cukup terasa kepada umat Islam secara keseluruhannya. Hakikat ini selari dengan prinsip persaudaraan Islam yang saling memerlukan dan memperkuatkan antara satu sama lain sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w "orang Mukmin bagi orang Mukmin yang lain itu laksana satu binaan, yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain" (Muttafaq 'alaih).

Diduksi dari kisah ini, sejarahnya cukup panjang dan kesan dari sejarah tersebut telah tersadur duka nestapa dan sengsara yang sangat kejap. Adalah menjadi harapan supaya setiap pertolongan samada kecil atau besar boleh membuka dan memberikan ruang untuk mereda atau lebih baik lagi menyelesaikan kemelut yang berpanjangan tersebut. Semoga kedamaian yang hilang akan muncul kembali dengan kedamaian yang kekal abadi dari usaha dan kalungan doa yang tidak putus-putus. Sesungguhnya, janji Allah s.w.t itu pasti. Tiada siapa yang mampu menyanggah lebih-lebih lagi oleh manusia-manusia yang kerdil di muka bumi ini. Cuma masa dan ketikanya belum tiba tetapi akan tiba jua nan di suatu saatnya nanti. Inshallah. Wassalam.


Author : Hasron @ Kajang, Selangor

Comments